Perlindungan kerajaan kepada kereta nasional Proton boleh diteruskan kerana ia menjadi amalan semua negara pengeluar kereta utama dunia, termasuk Jepun dan Amerika Syarikat, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad.

Katanya, kerajaan Britain, Jepun serta Korea Selatan dan negara lain juga memberi perlindungan kepada industri kereta mereka.

Jika, katanya, lambat laun ia akan terlepas kepada pemodal asing yang kaya-raya seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah.

"Jika ia telah berlaku di Eropah, Proton juga mungkin dikuasai pelabur asing jika perlindungan kerajaan tidak dilakukan," katanya dalam pertemuan dengan malaysiakini baru-baru ini.

Shahrir berkata, jika industri besi waja dan simen memerlukan perlindungan kerajaan, maka industri automatif juga memerlukan perlindungan yang serupa.

Bagaimanapun, katanya, Proton tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada perlindungan kerana kerajaan tentunya tidak mampu untuk terus berbuat demikian, terutama dalam pasaran terbuka.

Masalah yang berlaku sekarang, menurutnya, ialah jenama Proton yang tidak menyeluruh menyebabkan ia hanya dipasar di beberapa negara tertentu sahaja.

Luaskan pasaran

"Kalau setakat pasaran di Singapura, Brunei dan beberapa negara lain, jualan tidak banyak dan sudah tentu tidak dapat menampung kos modal yang dikeluarkan," katanya.

Selain itu, kata Shahrir, ia bukan bermakna Proton perlu menjual kereta keluarannya di seluruh dunia, tetapi hendaklah mensasarkan negara tertentu yang berpotensi.

Katanya, ini perlu kerana kereta keluaran Proton tidak boleh bersaing dengan kelas yang lebih besar seperti Mercedes atau BMW.

"Setakat ini saya nampak kereta Satria GTI boleh bersaing dengan kereta lain dalam kelas itu kerana ia dibuat menggunakan teknologi Lotus," katanya.

Shahrir juga berkata, Proton perlu memberi perhatian terhadap penggunaan 40 peratus barangan dari Asean sebagaimana yang ditetapkan di bawah zon perdagangan bebas Asean (Afta).

"Kita perlu lihat kedudukan dan masa depan vendor tempatan yang terbabit dengan industri automatif negara apabila Afta dilaksanakan," katanya.