Muhd Taib: Pengundi berdaftar bukan pengundi hantu
PAS tidak boleh menganggap pengundi yang tidak dapat dikesan mengikut alamat dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), sebagai pengundi hantu.
PAS tidak boleh menganggap pengundi yang tidak dapat dikesan mengikut alamat dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), sebagai pengundi hantu.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, mereka mungkin pernah menetap di alamat berkenaan tetapi telah berpindah atau bekerja di tempat lain.
"PAS tidak berhak menghalang dan melabelkan mereka sebagai pengundi hantu," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di Pasir Mas hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Dalam sidang akhbarnya, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata pihaknya telah mempunyai senarai nama pengundi "hantu" kerana nama mereka tidak dapat dikesan mengikut alamat dalam daftar pemilih.
Bagaimanapun, pada masa ini PAS enggan menyerahkan senarai itu kepada SPR sebagaimana yang dikehendaki.
Tindakan undang-undang
Sehubungan itu, Muhammad berkata mereka berhak dan sah mengundi serta tiada sesiapa pun boleh menghalangnya kerana mereka mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPR.
Menurut Bernama, beliau berkata, PAS banyak mengeluarkan fitnah sepanjang kempen sebagaimana terdapat pada kain-kain rentang dan risalah-risalah dengan pelbagai tohmahan yang tidak masuk akal.
Katanya, PAS sebagai parti berasaskan perjuangan Islam tidak patut berbuat demikian kerana ia menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Sementara itu, Radzi berkata, Umno sedang mengumpulkan bukti-bukti mengenainya dan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana ia menyalahi peraturan SPR.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.