PAS menolak alasan Pakatan Harapan untuk memperkenalkan cukai baru untuk minuman ringan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hujah kesihatan yang diuar-uarkan tidak masuk akal kerana kerajaan baru saja menurunkan harga gula.

“Kesemua hujah-hujah yang diberikan oleh pimpinan Pakatan Harapan sekarang sudah setaraf di zaman BN di mana rakyat terasa intelek mereka sedang dihina,” kata Tuan Ibrahim.

Harga kawalan gula turun sebanyak 10 sen sekilogram berkuat kuasa 1 September, menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengesahkan kerajaan sedang mempertimbangkan cukai minuman ringan bagi membendung masalah kesihatan.

Katanya, cadangan itu selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi membendung kegemukan, kencing manis dan masalah lain berkaitan gula.

Katanya, kadar pesakit kencing manis di negara ini sekarang amat tinggi dan terdapat rakyat Malaysia yang minum minuman ringan sehingga tujuh botol sehari.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, rakyat faham bahawa Pakatan Harapan perlu mencari alternatif mendapatkan pendapatan yang hilang akibat pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sementara itu, PAS mencadangkan peningkatan cukai rokok, arak dan judi untuk menampung pendapatan negara.

“Kedua, kerajaan juga boleh memansuhkan kategori bebas cukai terhadap arak dan rokok di zon bebas cukai di seluruh negara,” katanya.