Berita Malaysiakini

PKR Kedah tak pernah bincang jawatan Johari jika Anwar tanding di Sg Petani

Susan Loone  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ADUN PKR Kedah terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bahawa beliau "boleh melakukan perkara hebat di Kedah" apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Ahli Dewan Undnagan Negeri Sidam, Dr Robert Ling berkata Timbalan Pengerusi BERSATU Kedah Anuar Abdul Hamid telah menafsirkannya sebagai "rancangan untuk merampas" jawatan daripada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Saya melihat perkara ini secara serius dan menegaskan bahawa kenyataan Johari adalah bersifat peribadi dan tidak dalam apa-apa cara sekalipun berkaitan dengan PKR," kata Ling dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

"Kepimpinan PKR Kedah dan cabang parti Sungai Petani tidak membincangkan jawatan Johari sekiranya Anwar bertanding di kerusi parlimen Sungai Petani," kata Ling.

Pada hari Ahad, pada majlis sambutan 20-tahun reformasi di Pulau Pinang, Johari mengulangi kesediaannya untuk menawarkan kerusi parlimen Sungai Petani kepada Anwar untuk bertanding.

Langkah itu bagi membuka jalan kepada Anwar, yang memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding dalam pemilihan parti, untuk kembali ke parlimen.

Salah tafsir kenyataan

Johari, yang juga ADUN Gurun, berkata beliau boleh melakukan 'perkara hebat' di Kedah jika Anwar menjadi perdana menteri, sambil menjelaskan negeri itu kekal di bahagian bawah selepas Kelantan, yang kini diperintah PAS.

Ditanya jawatan mana yang beliau mahukan ketika Anwar mengambil alih kedudukan perdana menteri iaitu antara jawatan menteri persekutuan atau menteri besar, Johari memilih yang terakhir.

Ini mendorong BERSATU Kedah bertindak balas berkata terdapat rancangan untuk menjatuhkan Mukhriz, yang mana Johari dengan tegas menafikan, mengatakan bahawa pemimpin Kedah itu telah "salah mentafsir" ucapannya kerana beliau hanya menjawab soalan daripada media.

Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Sungai Petani, Ling berkata, beliau mengalu-alukan Anwar untuk bertanding di Sungai Petani supaya beliau dapat menjadi perdana menteri ke-8, seperti yang dipersetujui oleh gabungan itu sebelum PRU14.

Anwar sepatutnya menggantikan Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun tetapi Mahathir berkata beliau mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk meletakkan negara di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna Johari akan dilantik sebagai menteri besar Kedah," kata Ling.

"Kami telah bersetuju, secara konsensus, untuk menyokong Mukhriz sebagai Menteri Besar. Beliau perlu diberi peluang dan masa untuk mentadbir negeri dengan betul.

"Saya berharap tidak ada lagi kenyataan media yang akan membawa kepada persepsi negatif di kalangan rakyat dan mungkin membawa kepada pembubaran Pakatan Harapan," kata Ling, yang juga ketua cabang PKR Sungai Petani.

Menurutnya lagi, mandat rakyat yang diberikan kepada HARAPAN pada pilihan raya umum 9 Mei untuk memimpin negara mesti dilaksanakan dengan baik supaya keyakinan rakyat terhadap gabungan ini tidak akan terhakis.

[Baca berita penuh]