Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya kesal dengan kenyataan kerajaan berhubung niat membatalkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Apa yang lebih dikesalkan, alasan bahawa pemberian bantuan sedemikian akan menjadikan masyarakat kita manja dan terbiasa dengan bantuan.

Saya berpendapat BR1M harus dinilai secara adil dan objektif.

Pertama, inisiatif cetusan idea Bank Negara Malaysia yang kemudian dilaksanakan oleh kerajaan BN pada 2012 itu bertujuan membantu penerima yang memerlukan.

Ia bukan sahaja dilakukan secara berkala, malah kelompok penerimanya adalah jelas dan bersasar.

Kedua, ia adalah inisiatif yang berfokus bagi mengurangkan impak pelan rasionalisasi subsidi kepada golongan B40.

Ketiga, ia merupakan pendekatan yang relevan kepada sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara dalam konteks meningkatkan kuasa beli dan keupayaan melakukan perbelanjaan yang diperlukan isi rumah.

Risau keluhan B40 terabai

Ia termasuklah bagi berhadapan dengan kos pembelian barang-barang dapur, membayar bil bulanan dan perbelanjaan harian lain.

Para pakar termasuk ahli akademik dan pihak dalam industri mengatakan, kuasa membeli golongan berpendapatan rendah telah meningkat dengan pelaksanaan BR1M, terutamanya mereka yang tidak dapat menanggung beban kenaikan kos sara diri.

Dalam Malaysian Economic Monitor 2014 - iaitu laporan dikeluarkan Bank Dunia - ada dinyatakan manfaat dan matlamat BR1M telah sampai sehingga 90 peratus golongan sasar dan berjaya mengurangkan tahap kemiskinan golongan tersebut.

Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan mendapati bilangan isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah turun kepada 24.3 peratus daripada 52.7 peratus pada 2009.

Malah, BR1M memainkan peranan dalam mengurangkan ketidaksamarataan ekonomi. Pekali Gini berkurang daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.401 pada 2014, dan semakin rendah pada 2016 iaitu menjadi 0.399.

Segala kejayaan dan kebaikan inisiatif BR1M dapat dibuktikan dengan lebih jelas jika kita melihat kepada manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berjanji untuk meneruskannya.

Malangnya, pendirian HARAPAN dalam isu BR1M tidak pernah konsisten.

Pada 17 Mei, perdana menteri mengumumkan BR1M akan diteruskan dengan penambahbaikan, iaitu hanya yang layak boleh menerimanya.

Pada 26 Ogos, perdana menteri menyatakan pula hasrat untuk menghentikan BR1M secara berperingkat. Kemudian, beliau memutuskan yang kerajaan tidak akan terus memberhentikan BR1M sebelum kajian komprehensif dilakukan terlebih dahulu.

Ketidakpedulian pada keluhan kumpulan B40 seperti ini sudah pastilah merisaukan kita. Lebih baik sekiranya kita memfokuskan kepada usaha penambahbaikan inisiatif ini. Misalnya:

  • Pertama, memastikan senarai penerima disemak secara berkala bagi memastikan merek benar-benar layak,
  • Kedua, BR1M boleh dipadankan dengan mana-mana program atau inisiatif intervensi lain seperti pembinaan kapasiti yang boleh membantu penerima untuk keluar daripada kemiskinan dengan lebih cepat dan berkesan, dan
  • Ketiga, menilai semula jumlah yang diperuntukkan dan dipadakan bukan sahaja mengikut pendapatan, tetapi juga lokaliti atau tempat tinggal serta jumlah isi rumah.

Saya berpendirian, memperkasa BR1M adalah lebih baik daripada menghapuskannya.

Bukankah antara perkara yang paling lantang diperjuangkan oleh HARAPAN sebelum ini adalah kos sara hidup? Jadi, adakah dengan penghapusan BR1M mereka kini boleh menjamin bahawa golongan B40 sudah tidak terkesan dengan kos sara hidup?

Atau adakah mereka mengambil pendirian bahawa BR1M tidak mempunyai kebaikan, sedangkan mereka sendiri bersetuju untuk meneruskannya sebelum ini kerana kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh skim itu?

Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan, demi kebaikan mereka yang memerlukan.


DATUK MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno merangkap pengerusi majlis dasar awam parti itu.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS