Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang berharap kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi untuk pesawah bagi memastikan mereka dapat meneruskan penanaman padi pada masa hadapan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Pulau Pinang Datuk Ismail Umar berkata pemberian subsidi penting kerana ia adalah satu jaminan kepada pesawah yang mengusahakan tanaman padi untuk mendapatkan pendapatan lebih tinggi sejajar dengan usaha yang dilalui mereka.

"PPN Pulau Pinang yakin dan percaya dengan kepemimpinan kerajaan baharu sekarang ini dapat membantu golongan pesawah yang amat memerlukan subsidi bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Kami tidak mahu melihat situasi pada tahun 60 ke 70-an apabila ramai pesawah meninggalkan tanah mereka selepas tidak berminat untuk menanam padi kerana ia tidak menguntungkan.

"Ia berlaku kerana pada ketika itu tiada subsidi diberikan dan akhirnya memberi masalah kepada kerajaan apabila mengalami kekurangan sumber beras" katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Pulau Pinang Kali ke-44, di Kepala Batas, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan terdapat ura-ura bahawa kerajaan tidak akan meneruskan pemberian subsidi kepada pesawah namun PPN berpendapat bahawa ia akan dikekalkan memandangkan kepentingannya yang begitu besar terhadap sektor pertanian negara.

Subsidi RM2,800 setiap satu hektar

Ismail berkata sebelum ini kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membekalkan subsidi RM2,800 bagi setiap satu hektar penanaman padi semusim membabitkan subsidi bajakan, racun,baja dan harga padi.

"Jika tiada subsidi, bagaimana pesawah mahu menanggung kos-kos ini dan kami harap ia dapat terus dikekalkan apatah lagi isu ini sudah mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya.

Katanya terdapat lebih 5,500 pesawah di Pulau Pinang mengusahakan tanaman padi membabitkan keluasan 12,000 hektar sawah.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya merancang untuk membangunkan semula tapak projek ikan sangkar berkeluasan 20.25 hektar di Pulau Aman yang musnah dalam kejadian banjir besar melanda negeri itu November tahun lalu.

"Bagi membaik pulih segala kerosakan termasuk kos-kos penyelenggaraan kami memerlukan peruntukan sebanyak RM4 juta namun kos itu masih tidak dapat diperoleh dan terpaksa menangguhkannya buat sementara waktu.

"Dalam masa sama PPN Pulau Pinang sedang meneliti beberapa projek yang boleh membawa manfaat kepada penternak di situ antaranya menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu destinasi agro pelancongan,” katanya.

- Bernama