Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PEMILIHAN PKR | Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jeyakumar membidas anggota parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berikutan serangan yang dibuat terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya nak menasihati orang-orang muda ini. Saya sebagai orang yang lama dalam parti.

"Pemilihan parti ini adalah antara keluarga. You nak jadi champion, hero, untuk sementara waktu saja, tak payah," kata Xavier yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli kepada wartawan semasa berkempen untuk calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar Seri Setia.

Xavier berkata, parti itu harus bersatu dan menerima sebarang keputusan pemilihan yang akan dimumkan pada kongres tahunannya pada November ini.

"Parti ini telah melalui semua sekatan, kesusahan dan sebagainya untuk kita sekarang memerintah negara dan beberapa negeri. Kuasa itu diberi oleh rakyat.

"Tanggungjawab itu berat. Jadi orang- orang muda ni yang nak champion diri sendiri, yang baru masuk parti dan sebagainya, mereka kena jaga," katanya yang turut mempertahankan jawatan sebagai naib presiden.

Anggota parlimen Kuala Langat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Akmal dalam sebuah forum malam tadi.


Baca: 'Azmin tak bertanggungjawab, lambat umum tanding PKR'


Akmal yang merupakan calon bagi ketua pemuda PKR mempersoalkan kesetiaan Azmin terhadap presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini katanya berikutan kelewatan Azmin mengumumkan pencalonan sebagai orang kedua terpenting PKR, ketika spekulasi mengatakan bekas menteri besar Selangor itu mungkin mencabar Anwar bagi jawatan presiden.

Azmin hanya mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada 5 Ogos, iaitu pada hari penamaan calon bagi jawatan kepimpinan pusat PKR.

Sebelum ini, seorang anggota parlimen PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Azmin berpakat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penasihatnya, Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Azmin dan Anwar menolak dakwaan tersebut.

 

Lihat Komen
ADS