Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengundi Seri Setia mahu IPR, bukan BR1M, kata calon HARAPAN

PRK SERI SETIA | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, hasrat kerajaan untuk memansuhkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak memberi kesan di kalangan pengundi berpendapatan rendah di kawasan itu.

Bercakap kepada pemberita ketika berkempen di flat Taman Desaria di PJS 5, Halimey berkata isu pemansuhan BR1M tidak pernah dibangkitkan oleh pengundi di situ.

"Tak ada, tak ada, tak ada kesan.

"Sepanjang kempen saya di Seri Setia, pengundi hanya tanya tentang IPR (Inisiatif Peduli Rakyat)," kata Halimey merujuk kepada inisiatif 42 perkara oleh kerajaan negeri termasuk pemberian air percuma, subsidi penjagaan kesihatan dan skim kredit mikro.

"Mereka nak IPR. Tak sentuh langsung tentang BR1M," kata Halimey.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan calon HARAPAN di PRK Balakong, Wong Siew Ki yang mengatakan pemansuhan BR1M, serta cadangan cukai soda dibangkitkan oleh pengundi di kawasannya.

Ketika dihubungi, Wong mengesahkan kos sara hidup termasuk kesan pemansuhan BR1M dan cukai yang dicadangkan terhadap minuman bergula tinggi dibangkitkan pengundi daripada golongan berpendapatan rendah di Balakong.

"Ketika saya menemui penduduk, bahkan hari ini beberapa pengundi menyatakan kebimbangan mereka.

"Mereka bimbang tentang apa yang akan berlaku jika BR1M dibatalkan kerana sesetengah daripada mereka adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, ada yang telah bersara," katanya kepada Malaysiakini.

Tidak seperti di Seri Setia, Wong (di atas, kanan) berkata pengundi di Balakong bertanya kepada beliau mengenai BR1M, dan bukannya bantuan daripada kerajaan negeri.

"Saya beritahu mereka bahawa kami (HARAPAN) tidak semudahnya akan membatalkan BR1M.

"Ia akan dilakukan secara beransur-ansur dan bersama-sama dengan usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya sambil menambah matlamatnya adalah untuk mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS