Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli PAS datang sejauh dari Terengganu bantu Dr Halimah

PRK SERI SETIA | Pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, calon PAS, Dr Halimah Mohd Ali, menerima bantuan daripada anggota parti yang datang sejauh dari Terengganu.

Di flat Taman Desaria di PJS 5, mereka berkumpul di bilik gerakan PAS berhampiran bangunan Blok N yang setinggi 15 tingkat.

Suri rumah, Hasmah Soleh berkata beliau tiba dari Kuala Nerus, Terengganu pagi ini bersama-sama kira-kira 60 anggota PAS yang lain.

"Kami rancang ada di sini sampai habis kempen," kata Hasmah kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai rancangannya untuk membantu Halimah, Hasmah berkata beliau akan menyertai ahli lain untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Mengenai mesej yang akan disampaikan kepada pengundi, Hasmah berkata tumpuan PAS adalah sentiasa menegakkan Islam.

"Siapa nak Islam, mari. Sama-sama kita (perjuangkan Islam)," kata Hasmah.

Beliau juga menggambarkan bekas ADUN Selat Kelang itu sebagai calon berpengalaman dan mempunyai rekod yang baik dalam menyelesaikan pelbagai isu penduduk di kawasannya sebelum ini.

Selain ahli PAS sendiri, Halimah turut mendapat sokongan pemimpin dan ahli Umno tempatan di mana ini merupakan kali pertama kedua-dua parti itu bergabung selepas lebih tiga dekad menjadi musuh politik.

Menurut Hasmah, permusuhan antara PAS dan Umno boleh diketepikan atas nama menegakkan Islam dan demi kebaikan bangsa dan negara.

"Kami ni bila Allah bagi Islam, bersaudara. Di mana-mana jua," katanya.

Pada PRU14, Umno dan PAS memperoleh 14,441 undi berbanding PKR yang mendapat 29,250 undi daripada jumlah keseluruhan 52,650 undi.

Ditanya sama ada bantuan Umno akan meningkatkan peluang PAS menghadapi calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar, Hasmah sambil tersenyum berkata:

"Kita serah pada Allah. Kita bekerja, kemudian hasilnya kita serah pada Allah. Allah yang memberi."

Hasmah, bersama sekumpulan muslimah PAS, dilihat membawa beg hijau dengan logo parti itu yang dipenuhi barangan runcit termasuk beras, minyak masak dan kicap.

Hormati dasar Islam

Bagi guru bersara Jusoh Awang, seorang lagi ahli PAS dari Terengganu, mengubah kerjasama berdasarkan kepentingan bersama adalah proses biasa dalam politik.

Katanya, kerjasama PAS-Umno adalah tepat pada masanya untuk menegakkan kepentingan Melayu-Islam dan menentang ancaman DAP.

"Bagi pihak PAS, sesiapa yang ingin bersama, orang Islam, PAS tak akan menggadai maruah Islam. Mana-mana yang tolak Islam, memang PAS tidak akan bersama," katanya.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menyifatkan PRK di DUN Seri Setia sebagai permulaan untuk kerjasama erat antara partinya dan PAS.

Ini selepas lebih 100 ahli dan pemimpin Umno muncul menyatakan sokongan terhadap Halimah semasa penamaan calon pada 18 Ogos lalu.

Pilihan raya kecil pada 8 Sept ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU14 selepas menewaskan calon BN Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon bebas S Vigneswaran.

Lihat Komen
ADS