Walaupun mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), golongan muda dilihat berhati-hati terhadap kerajaan baru dan bersedia mempertimbangkan untuk menyokong parti politik lain, menurut satu kajian.

Kajian Iman Research bertajuk "Persepsi Belia di Malaysia Baru" menunjukkan golongan muda mungkin menukar sokongan mereka kepada parti yang boleh membawa pertumbuhan dan kemajuan yang lebih baik kepada negara.

Pengarah program badan pemikir itu, Badrul Hisham menjelaskan para pesert lebih bimbang mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh ahli politik berbanding parti yang diwakili mereka.

"Mereka mencari pemimpin yang boleh dipercayai, mereka yang memperjuangkan agenda belia [...] seperti menghasilkan lebih banyak pekerjaan dan menawarkan lebih banyak kebebasan.

"Adalah jelas bahawa belia tidak mengikuti garis parti. Mereka lebih matang dan melihat individu (pemimpin),"katanya.

Kajian itu juga menunjukkan golongan belia membantah projek kereta nasional baru yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Memetik statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kajian itu mengatakan 40.9 peratus pengundi pada PRU14 berumur antara 21 dan 39 dan oleh itu membentuk demografi berpengaruh dalam pilihan raya.

Kajian yang dijalankan melalui perbincangan kumpulan fokus dengan 40 peserta berusia 18-35 itu melibatkan mereka dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sabah.

Kajian itu juga meminta pendapat golongan muda mengenai pemimpin politik tertentu dari HARAPAN dan pembangkang.

Tak puas hati dengan Anwar, Wan Azizah

Majoriti peserta berkata mereka "tidak selesa" dengan kebangkitan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU14.

"Biarlah dia menjadi ikon Reformasi, lebih baik baginya untuk bersara, bermain dengan cucu. Beri ruang kepada wajah baru," kata seorang.

Mereka juga bimbang terhadap pengaruh Anwar ke atas isterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rata-rata mereka berpendapat Wan Azizah terlalu menonjolkan peranannya sebagai isteri Anwar dan kelihatan hanya mengikut arahan suaminya itu.

"Dia dilihat sebagai boneka, banyak keputusannya diprogramkan atau dipengaruhi oleh Anwar Ibrahim," kata seorang peserta.

Sementara itu, golongan muda juga melihat parti pembangkang sebagai 'lemah', namun kebanyakan mereka percaya Anggota Parlimen Rembau Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh menjadi pemimpin yang cemerlang.

Rata-rata mereka juga menyatakan rasa kagum dengan pestasi terkini yang ditunjukkan anggota Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat.

"Ahmad Maslan tidak lagi bingung (bingung). Hujahnya mempersoalkan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masuk akal," kata seorang peserta.

Laporan penuh mengenai kajian itu dijangka akan diterbitkan oleh Iman Research di laman web mereka minggu depan.

[Baca berita penuh]