Malaysiakini BERITA

'PAC patut selongkar dokumen DOJ dalam siasatan semula 1MDB'

Lu Wei Hoong

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Wong Kah Woh mencadangkan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1MDB digunakan dalam siasatan semula PAC terhadap syarikat itu.

Anggota Parlimen Ipoh Timur itu berkata, dokumen mahkamah Amerika Syarikat pada 2016 dan 2017 berkaitan sakndal itu mengandungi banyak bukti yang dapat membantu PAC dalam siasatan mereka.

"Saya merasakan dua dokumen DOJ itu mengandungi paling banyak bukti. Jika PAC terdahulu tidak menggunakannya, saya percaya kita ada tanggungjawab untuk berbuat demikian.

"Saya akan cadangkan kepada PAC untuk menjadikan dokumen yang difailkan dalam saman sivil DOJ sebagai salah satu hala tuju siasatan kita," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 16 Ogos lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul agar PAC membuka semula siasatannya terhadap skandal 1MDB. Dalam mesyuarat semalam, PA telah mula menerima taklimat daripada ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad berhubung perkara itu.

PAC ketika pentadbiran BN, katanya lagi, tidak memanggil ramai saksi utama dan maka tidak memasukkan bukti penting dalam laporan akhirnya.

"Laporan yang dihantar PAC kepada Parlimen pada April 2016 juga tidak menggunakan dua saman sivil DOJ yang merupakan bukti penting," katanya lagi.

Beliau berkata lagi, sebaik saja taklimat Madinah selesai, PAC akan mementukan terma rujukan bagi siasat semula itu.

Wong bagaimanapun enggan mendedahkan saksi yang akan dipanggil jawatankuasa.

Selain 1MDB, katanya lagi, PAC juga akan meneliti dakwaaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan BN telah "merompak" wang bayaran balik GST berjumlah RM19.2 bilion.

Selepas menghantar laporan akhir pada April 2016, bekas pengerusi PAC sebelum ini Datuk Hasan Ariffin enggan membuka semula siasatan walaupun selepas saman sivil DOJ dibuka kepada umum.