Antara perkara yang paling kerap dibangkitkan selepas PRU ke-14 adalah berkenaan agenda bumiputera, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berulangkali mengulangkan komitmen untuk terus memperkasakan golongan itu.

Selepas melepasi tempoh 100 hari pentadbiran, kerajaan melalui kementerian hal ehwal ekonomi akan mengadakan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara esok, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka melancarkan kongres dan menyampaikan ucaptama manakala Ketua Umum HARAPAN akan memberikan ucapan penutup.

Menurut atur cara program, selepas pelancaran Mahathir akan menyertai sesi dialog selama sejam, dimudahcara oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhubung cabaran agenda bumiputera selepas perubahan susulan PRU ke-14.

Mahathir akan meninggalkan majlis selepas itu. Acara diteruskan dengan pembentangan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bawah Jabatan Perdana Menteri berhubung pelaksaan dan pencapaiannya setakat ini untuk menggalakkan penyertaan golongan itu dalam ekonomi negara.

Pembentangan seterusnya oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menjadi pembentang terakhir - dengan tema integriti dan tadbir urus terbaik - sebelum sidang ditangguhkan untuk rehat.

Sesi petang dimulakan dengan forum bagi membincangkan resolusi sebelum diserahkan kepada Azmin untuk tindakan selanjutnya oleh kerajaan.

Azmin sebelum ini berkata kongres tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangka agenda baru pemerkasaan ekonomi bumiputera.