Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rosmah pesan Najib: Kalau terus bersuara nanti kena panggil lagi

Datuk Seri Najib Razak tidak sempat berucap panjang selepas dipotong isterinya ketika program kecil-kecilan sempena Hari Merdeka yang dihadiri pasangan itu, pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu membuka ucapannya dengan berjanji untuk terus memantau kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama dalam soal janji manifesto PRU ke-14.

"Terima kasih kerana dapat bersama-sama kita kerana kita cintakan negara ini.

"Kita akan melakukan yang terbaik untuk negara. Mana-mana janji yang tak ditunaikan, kita tahulah..." kata Najib dalam program perkelahan Hari Merdeka di Taman Botani, Kuala Lumpur.

Ketika itu, Rosmah dengan spontan menyampuk ucapannya dengan berseloroh: Tak boleh cakap nanti kena panggil (pihak berkuasa) lagi."

Kata-kata itu disambut ketawa kira-kira 120 orang yang hadir.

Najib kemudian menamatkan ucapannya dengan melaungkan "merdeka" sebanyak tiga kali.

Selama lebih dua jam, Najib dan isteri meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama hadirin sambil menikmati juadah nasi lemak yang disediakan penganjur, Datuk Lokman Noor Adam.

Kebanyakannya berbaju biru, malah ada juga yang memakai baju berlatarbelakangkan wajahnya dan mengibar bendera BN.

Sebuah keluarga pula tampil sedondon dengan pakaian bercorak Jalur Gemilang.

Lokman ketika ditanya berhubung jumlah hadirin yang sederhana menjelaskan, program pada mulanya dijadual berlangsung di Dewan Memorial Tun Abdul Razak yang hanya boleh memuatkan 120 orang.

"Jumlah kehadiran sudah disenarai pendek kepada 120 orang sahaja, dan kita terpaksa tolak banyak lagi yang mahu sertai.

"Tetapi lokasi terpaksa dipindah di saat akhir ke sini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS