Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kini Wisma Putra kata Tan bukan duta khas ke China
Diterbitkan:  Aug 31, 2018 3:44 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Wisma Putra mengumumkan Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai tidak dilantik sebagai duta khas ke China.

The Star hari ini melaporkan, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan Tan yang juga pengerusi DAP hanyalah pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

"Jawatannya sekarang adalah pengerusi MCBC dan untuk Wisma Putra, beliau bukan duta khas.

"Sehingga hari ini tiada surat (pelantikan Tan sebagai duta khas). Jadi dalam konteks kami, beliau adalah pengerusi MCBC," katanya seperti dipetik.

Kenyataan Saifuddin itu bertentangan dengan laporan media sebelum ini bahawa Tan dilantik menjadi duta khas ke China bermula 1 Ogos lalu, menggantikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Pelantikan itu juga disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Parlimen.

Liew memberitahu Dewan Rakyat bahawa jawatan itu tidak berstatus menteri dan dibuat berdasarkan kontrak.

Menerusi Twitter, Saifuddin menjelaskan perkara itu dan mengakui pelantikan Tan tetapi memberitahu ketika wawancara bersama akhbar itu, belau tidak tahu akan peranan Tan memandangkan "terma rujukan dan surat lantikan khas" tidak diperolehi.

"Betul lah. Dia telah dilantik sebagai duta khas. Tetapi kami belum diberitahu sama ada dia telah menerima surat pelantikan. Itu sahaja," katanya.

Berita pelantikan Tan (gambar) mencetuskan bantahan daripada pembangkang memandangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mengkritik pelantikan seumpama itu yang dibuat pentadbiran BN atas sebab ia membazir wang negara.

Namun Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke berkata pelantikan itu tidak bertentangan dengan manifesto pilihan raya HARAPAN.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, manifesto hanya menyatakan tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLS), tetapi bukan untuk wakil kerajaan.

Menjawab soalan The Star, Saifuddin berkata tidak akan ada lagi lantikan politik bagi jawatan diplomat.

Malaysiakini sedang mendapatkan respons Tan.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu hantaran Facebook mengecam kerajaan kerana kenyataan berbeza mengenai perkara itu.

"Persoalan sekarang ialah, kata-kata siapa yang betul? Menteri luar atau jawapan rasmi Parlimen?...Mungkin menteri luar telah menolak keputusan perdana menteri untuk melantik Tan sebagai duta khas.

"Sebelum ini Ong adalah duta khas bagi pihak perdana menteri tanpa mendapat gaji. Pada masa sama, beliu pengerusi MCBC. Kedua-duanya adalah jawatan berbeza, jangan keliru," katanya hari ini.

Wee turut menggesa kementerian luar agar lebih "proaktif" dalam koordinasi dengan Jabatan Perdana Menteri pada masa akan datang.

Lihat Komen
ADS