Pengkalan Pasir: Keputusan dijangka jam 9 malam
Semua 10 buah pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi ini bagi membolehkan 18,216 pengundi keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir.
Semua 10 buah pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi ini bagi membolehkan 18,216 pengundi keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir.
Jumlah pengundi itu ialah sebahagian daripada 18,411 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan. Sebanyak 195 orang lagi telah mengundi melalui pos sebelum ini.
Pusat-pusat pengundian itu ialah Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha, SMK Perempuan Pasir Mas, SMK Kubang Bemban, SMK Sultan Ibrahim 2, SMK Sultan Ibrahim 3, SK Dato' Abdul Hamid 2, SK Dato' Abdul Hamid 1, SK Tanjong Chenak dan SK Mekasar untuk daerah mengundi Kasa dan Sakar.
Proses pengundian dijangka berjalan lancar berdasarkan keadaan cuaca yang agak baik pada sebelah pagi ini walaupun ramalan menyatakan hujan berterusan akan turun selama tiga hari mulai semalam di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.
Menurut jangkaan, kebanyakan pengundi yang akan keluar mengundi pada sebelah pagi ialah dari kalangan kaum lelaki.
Calon mengundi
Bernama melaporkan Pusat-pusat pengundian itu akan ditutup pada jam 5 petang ini dan proses pengiraan undi akan berlangsung selepas itu di pusat penjumlahan undi iaitu SMK Sultan Ibrahim Satu (1).
Pilihanraya kecil itu melibatkan pertandingan antara calon Barisan Nasional Hanafi Mamat, calon PAS Hanifa Ahmad dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali. Ia diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dari PAS pada 31 Oktober lalu.
Hanafi dan Hanifa merupakan antara pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil itu. Bagaimanapun Ibrahim tidak mempunyai kelayakan itu kerana beliau berdaftar sebagai pengundi di kawasan DUN Tendong.
Hanifa adalah antara yang pertama datang ke Sekolah Kebangsaan Datuk Abdul Hamid 2 pada kira-kira jam 7.30 pagi diikuti 10 minit kemudian oleh Hanafi dan isterinya Tuan Aminah Tuan Soh.
Kedua-dua calon itu bersalaman sesama mereka sementara menunggu pusat pengundian itu dibuka.
Keputusan pilihanraya kecil itu dijangka diketahui pada kira-kira pukul 9 malam ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.