Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi DAP Tan Kok Wai mengesahkan beliau adalah duta khas Malaysia ke China, sekaligus menafikan kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang bertentangan.

Tan berkata surat pelantikannya ditandatangani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Saifuddin boleh menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.

"PM tanda tangan surat pelantikan saya yang menyatakan saya sah sebagai duta khas ke China dan pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

"Jika dia (Saifuddin) tidak tahu, dia boleh minta penjelasan daripada PM atau saya. Dia boleh saja hubungi saya.

"Saya maafkannya yang tidak tahu. Saya harap dia boleh buat penjelasan yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Surat pelantikan bertarikh 1 Ogos itu dilihat Malaysiakini. Ia menyatakan pelantikan tidak membawa status menteri.

Malaysiakini juga difahamkan Wisma Putra belum menerima surat pelantikan itu dan Saifuddin telah maklum dengan pelantikan Tan.

The Star hari ini melaporkan Saifuddin berkata Tan yang juga anggota parlimen Cheras bukan duta khas ke China, sebaliknya hanyalah pengerusi MCBC.

Menerusi Twitter, Saifuddin menjelaskan perkara itu dan mengakui pelantikan Tan tetapi memberitahu ketika wawancara bersama akhbar itu, belau tidak tahu akan peranan Tan memandangkan "terma rujukan dan surat lantikan khas" tidak diperolehi.

"Betul lah. Dia telah dilantik sebagai duta khas. Tetapi kami belum diberitahu sama ada dia telah menerima surat pelantikan. Itu sahaja," katanya.

Berita pelantikan Tan (gambar) mencetuskan bantahan daripada pembangkang memandangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mengkritik pelantikan seumpama itu.

Namun Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke berkata pelantikan itu tidak bertentangan dengan manifesto pilihan raya HARAPAN.

Lihat Komen
ADS