Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim beri keterangan isu lebihan cukai tak dipulangkan k'jaan BN
Diterbitkan:  Aug 31, 2018 5:17 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberikan keterangan kepada polis berhubung dakwaan bahawa kerajaan BN sebelum ini gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion.

Lim memberi keterangan kepada polis di pejabatnya di Putrajaya petang semalam dari jam 3 petang hingga 5 petang.

Beliau pertama kali mendedahkan perkara itu dalam satu kenyataan pada 22 Ogos lalu.

Lim mendakwa sehingga 31 Mei, Tabungan Bayaran Balik Cukai (TBBC) hanya memiliki RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, iaitu kurang sebanyak RM14.56 bilion.

Menurutnya sebanyak 1.6 juta pembayar cukai yang tidak mendapat bayaran balik itu terdiri daripada individu, syarikat, persatuan dan yayasan sejak lebih enam tahun lalu.


Baca: Lim dedah RM16 bilion gagal dibayar kepada pembayar cukai


Bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara, Tan Sri Irwan Siregar yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun di Kementerian Kewangan didakwa bertanggungjawab memperuntukkan dana mencukupi menerusi TBBC seperti diperlukan LHDN bagi pembayaran balik.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan lama boleh dianggap sebagai pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan.

"Perkara pokoknya ialah siapa yang sebenarnya bertanggungjawab, adakah Tan Sri Mohd Irwan atau mantan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak atau kedua-duanya?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Najib yang juga bekas perdana menteri menafikan sebarang salah laku dan menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Lihat Komen
ADS