Pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong (DJZ) hari ini menegaskan bahawa selain masyarakat Cina, masyarakat Melayu dan India juga turut menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

"Lebih-lebih lagi, Kongres Pendidikan Melayu Ke-2, telah meluluskan usul-usul yang menyeru kerajaan menimbang semula dasar tersebut," kata Pengerusi DJZ, Dr Yap Sin Tian.

"Jelas sekali, permintaan untuk menimbang semula dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains merupakan tuntutan bersama semua kaum," katanya dalam satu akhbar hari ini.

Oleh itu, katanya, demi kepentingan negara dalam mewujud dan mengembangkan pendidikan bahasa ibunda, DJZ akan menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Sabtu ini pada jam 3 petang di Pusat Pendidikan DJZ di Kajang.

"Dengan tujuannya untuk menyuarakan pendirian kami, iaitu membantah kerajaan daripada terus melaksanakan dasr pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya.

Setakat ini, katanya lebih 1,000 peserta telah mengesahkan untuk menghadiri persidangan tersebut.

Suara rakyat

Dr Yap berkata, pihaknya juga telah menghantar jemputan kepada pertubuhan kaum-kaum lain untuk sama menjayakan persidangan itu dan menunggu pengesahan mereka.

Bagaimanapun, beliau menafikan tanggapan bahawa persidangan itu berunsur radikal tetapi sebaliknya menegaskan, ia adalah satu persidangan aman bagi menyuarakan pandangan rakyat mengenai isu tersebut.

"Ini persidangan aman, tidak radikal dan selaras dengan hak asasi rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung isu tersebut," tambahnya.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa persidangan itu diadakan selepas rundingan pihaknya dengan parti politik MCA dan Gerakan berhubung isu tersebut, menemui kegagalan.

Sebaliknya, jelas Dr Yap, pengajuran persidangan tersebut merupakan inisiatif pihaknya sendiri untuk menyediakan wadah bagi rakyat menyuarakan pandangan mereka berhubung isu tersebut.

Manakala MCA dan Gerakan pula, katanya, mempunyai cara mereka tersendiri untuk memperjuangkan isu tersebut melalui saluran parti, saluran kabinet dan kerajaan

Dong Jiao Zong adalah gabungan dua pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong (Persatuan Gabungan Pentadbir Sekolah Cina) dan Jiao Zong (Persatuan Gabungan Pendidik Sekolah Cina).

Formula 2-4-3

Sehubungan itu, DJZ mengulangi pendiriannya bahawa semua jenis aliran sekolah rendah harus menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan medium peperiksaan bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Dr Yap berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat.

Bagiamanapun, beliau berkata, pihaknya membantah dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

"Formula "2-4-3" yang diamalkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sejak tahun 2003 di mana Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina pada masa yang sama, telah menimbulkan banyak masalah," tegasnya.

Katanya, ia bukan sahaja mengingkari prinsip pendidikan, malah bertentangan dengan hasrat rakyat.

"Tambahan pula, dasar ini juga bertentangan dengan perkembangan pendidikan sejagat yang bersifat kepelbagaian, demokrasi dan kesamarataan," katanya.