Tiga pemimpin Umno Kuantan digantung keahlian
Tiga pemimpin utama Umno bahagian Kuantan hari ini digantung hak keahlian selama enam tahun selepas didapati bersalah oleh jawatankuasa siasatan Lembaga Disiplin parti itu susulan aduan penyandang ketua bahagian itu, Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Fauzi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, menimbulkan kontroversi Mac lalu apabila membuat aduan polis dan mendakwa bekas menteri besar Pahang, Datuk Khalil Yaakob menyalahgunakan kuasa berhubung pengagihan konsesi balak.
Datuk Faisal Abdullah, Mohd Zahar Mohd Sohor @ Mat Nor dan Abas Kassim disiasat berhubung politik wang menjelang pemilihan peringkat bahagian pada April.
Pengerusi jawatankuasa siasatan itu Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail hari ini menjelaskan lembaga itu telah mendengar kes-kes tersebut dan memberikan surat amaran kepada mereka yang berkenaan.
"Kes di Kuantan, buat masa ini kita telah selesaikan," katanya di sidang media bagi mengumumkan keputusan siasatan itu di ibu pejabat Umno pagi tadi.
Tiga pemimpin itu "digantung hak-hak untuk memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan dalam parti seperti di bawah fasal 6.2.2 Perlembagaan Umno selama tempoh enam tahun bermula 26 Mei tahun ini sehingga 25 Mei 2007."
Ahmad Rithaudeen berkata terserah kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk mencari pengganti atau mengadakan pemilihan baru bagi kawasan itu.
Beliau turut memaklumkan, daripada 64 kes salah laku yang diterima jawatankuasa khas itu, 11 didapati bersalah. Kes-kes itu termasuk tiga ketua bahagian, Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi (Bukit Bintang), Kamaruddin Md Nor (Pasir Puteh) dan Ahmad Lebai Sudin (Pokok Sena).
Enggan umumkan kesalahan
Abdul Azim dikenakan hukuman penggantungan hak keahlian di peringkat cawangan dan bahagian selama tiga tahun tetapi boleh meneruskan tugasnya sebagai ahli MT Umno.
Kamaruddin dihukum dalam tempoh satu penggal mulai 21 Jun untuk semua peringkat pemilihan, sementara Ahmad diberikan amaran.
Ditanya lanjut, Ahmad Rithaudeen menjelaskan Abdul Azim terbabit dalam lima kesalahan khusus. Pengerusi jawatankuasa siasatan itu bagaimanapun enggan mengumumkan kesalahan-kesalahan itu, kecuali dua daripadanya - cuba mendapatkan undi dan menganjurkan majlis yang membabitkan ahli-ahli parti menjelang pemilihan.
Empat bulan lalu, 165 bahagian Umno di seluruh negara menjalankan pemilihan untuk jawatan-jawatan yang akan dipegang dalam tempoh tiga tahun.
Ditanya sebab jawatan Abdul Azim sebagai ahli MT tidak digantung, Ahmad Rithaudeen berkata "Beliau dipilih (sebagai ahli MT) sebelum pemilihan bahagian, (jadi, pemilihan itu) tidak ada kaitan (dengan kesalahannya sekarang)."
Jawatankuasa khas itu menerima 506 aduan dan 185 telah dibicarakan. Sementara 296 aduan lagi tidak tertakluk di bawah bidang kuasa siasatan jawatankuasa itu kerana ia melibatkan kesalahan-kesalahan tatacara mesyuarat di peringkat cawangan atau bahagian.
"Kita rujuk kepada negeri-negeri untuk menyiasat kes-kes ini," kata veteran Umno itu.
Lembaga itu dijangka dapat menyelesaikan kes-kes lain sebelum pertengahan bulan depan, sementara 25 kes masih belum ditetapkan tarikh perbicaraan.

