Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: 33 Klinik 1Malaysia akan ditutup secara berperingkat
Diterbitkan:  Sep 2, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 6:44 AM

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan sejumlah 33 Klinik 1Malaysia akan ditutup secara berperingkat manakala 313 lagi akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti.

"Penutupan 33 klinik ini akandilakukan secara berperingkat dan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di sekitarnya, kerana ada fasiliti kesihatan berdekatan (hospital dan klinik kesihatan)," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Minggu Penjagaan Kesihatan Gigi peringkat kebangsaan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, setiap Klinik Komuniti itu nanti akan dijaga seorang pegawai kesihatan, ahli farmasi dan beberapa jururawat.

Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, katanya lagi.

Pada masa ini, terdapat 346 klinik 1Malaysia di seluruh negara. Ia diperkenalkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

Berhubung cadangan kenaikan bayaran konsultasi di hospital dan klinik swasta, Dr Zulkefly dipetik Bernama sebagai berkata semakan semula akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet sebelum keputusan dibuat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata kertas cadangan semakan caj, yang telah dihantar kepada menteri, mencadangkan kadar antara RM10 dan RM35 dinaikkan kepada antara RM35 dan RM125.

Kenaikan itu dipersetujui ketika ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ di kementerian kesihatan pada 28 Ogos lalu.
 

Lihat Komen
ADS