Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam: Hasanah kata dia hanya ikut perintah kerajaan

Peguam kepada bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid berkata anak guamnya ketika prosiding reman telah merayu bahawa dia hanya menjalankan tugas berdasarkan perintah kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, peguam Shaharudin Ali berkata Mahkamah Majistret Putrajaya memberikan lanjutan reman selama sehari, berbanding tujuh hari seperti yang dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hasanah membuat kenyataan kepada mahkamah pagi ini. Secara ringkas dia antara lain menyatakan hanya menjalankan tugas sebagai ketua pengarah MEIO di bawah perintah dan arahan kerajaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata Hasanah dijangka dibebaskan daripada tahanan SPRM pada pukul lima petang esok.

SPRM menahan Hasanah pada 28 Ogos dan dikenakan reman selama lima hari keesokannya.

Penahanan itu berkaitan dakwaan penyelewengan dana jutaan ringgit oleh pegawai risikan kerajaan. Selain Hasanah, tujuh lagi bekas pegawai MEIO turut ditahan.

Shaharudin (gambar) berkata Hasanah telah memberitahu mahkamah bahawa dia tidak dapat tidur semalam kerana menantikan pembebasannya pagi ini, dan terkejut apabila mendapati SPRM memohon remannya dilanjutkan.

Beliau berkata SPRM memberikan sembilan sebab untuk lanjutan itu, termasuk untuk mengesan beberapa jam tangan dan RM14 juta yang masih tidak ditemui.

SPRM juga dikatakan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu mengambil keterangan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dua kerabat diraja Arab Saudi berhubung kes itu, selain memanggil tiga pegawai MEIO di Abu Dhabi.

Bagaiamanapun, beliau berkata Hasanah memberitahu mahkamah bahawa Hishammuddin dan kerabat Arab Saudi itu tidak terlibat dalam kes itu.

Katanya lagi, suruhanjaya itu juga mahu reman dilanjutkan kerana ingin menggeledah rumah Hasanah dan menyemak pergerakannya ke luar negara.

Namun kata Shaharudin, beliau membalas hujah itu dengan berkata tempoh reman lima hari sudah memadai dan anak guamnya tidak harus terbeban jika proses siasatan bergerak perlahan.

Lihat Komen
ADS