Berita Malaysiakini

Calon BN: Soalan di DUN S'gor dikurangkan kerana pembangkang lemah

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK BALAKONG | Sebuah kerajaan yang sihat perlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan suara rakyat dapat didengari kerajaan secara menyeluruh, kata calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong.

Katanya pembangkang akan memastikan amalan 'semak dan imbang' dapat dipraktikkan seterusnya mengelak kerajaan daripada mengambil keputusan sambil lewa.

Ini menurutnya, sepertimana berlaku di Selangor yang mempunyai 51 anggota DUN dan hanya lima pembangkang yang menyaksikan penurunan jumlah soalan dikemukakan untuk persidangan DUN daripada lebih 700 sebelum ini kepada hanya 420, berdasarkan laporan akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

"Alasan diberi adalah kebanyakan anggota DUN masih baharu dan tidak tahu prosedur yang betul dan terlepas tempoh serah soalan mereka. Lebih kecewa bukan seorang atau dua tetapi kebanyakan mereka tidak menyerahkan soalan.

"Ini tidak boleh diterima kerana ia tanggungjawab ADUN untuk kemukakan soalan, membahas. Kalau gagal dalam tugas asas ini apa lagi boleh harap mereka lakukan untuk rakyat," katanya pada sidang media, sambil merayu pengundi untuk mengundinya bagi menambah jumlah pembangkang dalam kerajaan Selangor.

Tan akan berhadapan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki dalam PRK itu pada 8 Sept ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

- Bernama