Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SERI SETIA | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan pihak lawannya bahawa beliau menggunakan jentera kerajaan Selangor untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Halimey turut menegaskan bahawa beliau tidak memberi sebarang sumbangan atau barangan kepada sesiapa.

"Saya tidak beri barang apa-apa pun. Boleh periksa. Saya juga tidak lakukan penyerahan barang kepada sesiapa," katanya dalam sidang media hariannya di Pangsapuri Seri Jati di Petaling Jaya, hari ini.

Calon HARAPAN itu mengulas kenyataan calon PAS Dr Halimah Ali menerusi laporan sebuah portal berita tempatan, yang mendakwa beliau sendiri melihat jentera kerajaan negeri digunakan bagi kempen Halimey di kawasan PJS 6 dan Desa Mentari, semalam.

Mengulas lanjut, Halimey mengakui Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah ada memberi barangan atau sumbangan kepada penduduk DUN Seri Setia.

"Kalau Maria Chin memang ada beri tetapi beliau tiada masalah sebab beliau memegang jawatan sebagai anggota Parlimen. Saya sebagai calon yang tidak dibenarkan beri barang," tambahnya

Halimey berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Dr Halimah pada 8 September ini dalam PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS