Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan bahawa makanan asas krustasia seperti ikan kering atau ikan masin dan udang kering dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
"Itu tidak benar. Ikan kering, udang kering dan ikan masin tidak dikenakan SST," kata Lim kepada pemberita di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan PSM hari ini yang menggesa kerajaan mengecualikan barangan berkenaan yang dianggap barangan makanan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).
Jelas Lim, cukai ke atas ikan kering, ikan masin dan udang kering hanya cadangan sebelum ini namun tidak dilaksanakan.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan mungkin akan mengecualikan beberapa lagi barangan lain hujung tahun ini selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam yang juga hadir di sidang media berkenaan berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna untuk menetapkan harga cadangan bagi barangan.
Perkara itu, katanya, bagi menstabilkan harga pasaran.
SST mula dilaksanakan semalam sebagai menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini.
