Seorang surirumah hari ini memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di Alor Star terhadap seorang pegawai polis yang didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menahannya lebih 24 jam Januari lalu, serta ditahan di lokap tanpa sebarang sebab munasabah.

S.Marakatham, 39, menamakan Cif Inspektor Tan Hooi Heng, dari Balai Polis Alor Star sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Dengan diiringi suaminya, P.Ravindran dan peguam V.Rajadevan, beliau memfailkan saman itu kepada Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rosmini Mat Rashid, pada jam 9.30 pagi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marakatham berkata, dia ditangkap tanpa sebarang sebab yang munasabah oleh defendan pertama pada jam 1 petang 4 Januari 2005 ketika berada dalam rumahnya di No 45, Lorong Gedebang, Jalan Langgar di Alor Star.

Katanya, kejadian itu disaksikan oleh jiran dan orang ramai sebelum dia dibawa ke Balai Polis Alor Star dan ditahan sehingga jam 7.30 malam sebelum dipindahkan ke Balai Polis Alor Janggus dan ditahan di lokap.

Menurut laporan Bernama, pada jam 10 pagi keesokkan harinya, kata Marakatham, dia dibawa balik ke Balai Polis Alor Star sebelum dilepaskan tanpa syarat pada jam 1.20 petang.

Tuntut gantirugi

Pernyataan tuntutan itu turut menyebut Tan yang memakai pakaian preman pergi ke rumah Marakatham pada hari kejadian dengan menemani seorang lelaki bernama Lim Ah Lep @ Lim Kim Soon.

Surirumah itu berkata, Tan tidak memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sehingga berada di dalam rumahnya, selain tidak membawa sebarang waran dan menangkapnya tanpa wujud sebarang laporan polis serta tanpa kehadiran anggota polis wanita.

Pegawai polis itu turut didakwa mencabar suami Marakatham dengan menggunakan kata-kata kasar dan menghina serta gagal mengambil sebarang kenyataan atau menyiasat semasa Marakatham ditahan.

Wanita itu mendakwa dia hilang kebebasan, menanggung malu dan menerima penghinaan, mengalami kerugian serta tekanan emosi dan mental akibat kejadian itu selain turut diarah menanggalkan rantai perkahwinan dan menyapu lantai ketika ditahan di lokap Balai Polis Alor Janggus.

Dia menuntut gantirugi am dan gantirugi khas dan gantirugi teladan berjumlah RM50,000, gantirugi tambahan berjumlah RM50,000, faedah pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh kejadian sehingga penyelesaian, kos peguam serta relif lain yang dianggap patut dan adil oleh mahkamah.