Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kidurong, Chiew Chiu Sing mungkin digantung jika Jawatankuasa Keistimewaan Dewan Undangan Negeri mendapati beliau bersalah kerana mendakwa rakyat China perempuan yang menuntut di Sarawak, ditaja oleh lelaki tempatan.

Chiew, satu-satunya wakil pembangkang (DAP) di Dewan Undangan Negeri (DUN), dirujuk kepada jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar, apabila beliau enggan menarikbalik kenyataannya.

"Jika anda (Chiew) boleh membuktikan kepada jawatankuasa itu apa yang anda telah nyatakan tidak mengelirukan kepada Dewan dan betul, barulah anda akan dibebaskan," kata Mohd Asfia pada sidang DUN itu di Kuching hari ini.

Beliau memberitahu pemberita kemudian bahawa tindakan yang akan diambil terhadap Chiew, termasuk menggantung yang berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa itu untuk diputuskan yang akan bermesyuarat mengenai perkara itu.

Katanya, kali terakhir seorang Adun dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan mengikut budibicara Peraturan Tersedia ialah pada Mei 1985 yang melibatkan bekas Adun Oya, Datuk Salleh Jafaruddin kerana dakwaan melanggari keistimewaan.

Enggan tarik balik

Menurut muka surat 40 Hansard pada 1 Disember, Chiew dilaporkan berkata penuntut itu ditaja oleh lelaki yang sudah berkahwin untuk belajar bahasa Inggeris di kolej di negeri ini.

"Saya difahamkan, borang penajaan ini mempunyai kepala surat Jabatan Pelajaran Sarawak. Saya berani mengatakan bahawa ia hanya penajaan untuk keselesaan, bagi United College Sarawak (UCS) di Sibu, saya bacakan bahawa Yang Berhormat itu mengatakan UCS akan memulakan kelas bahasa Inggeris pada Jun tahun depan tetapi perempuan China telah ditaja dan tinggal di Sarawak sejak awal tahun ini," kata Chiew.

Menurut laporan Bernama, Chiew enggan menarikbalik dakwaan itu, dan memberitahu sidang Dewan bahawa beliau tetap berpegang pada apa yang dikatakan.

Sementara itu, Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang bertikam lidah dengan Chiew mengenai isu itu semalam, berkata ia adalah salah atu taktik yang digunakan oleh DAP untuk mengelirukan orang ramai untuk kepentingan politik.

Wong, yang juga pengerusi jawatankuasa kerja untuk membantu menubuhkan kolej itu pada 1996, berkata tidak ada seorang pun daripada 800 penuntut ini termasuk 600 orang di kampus utama dan 200 orang di kampus Kuching, adalah orang asing.

Kolej swasta itu, dengan hubungan pelajaran dengan universiti di seluruh negara, merancang mengambil penuntut dari China apabila kemudahan asramanya siap pada pertengahan tahun depan di samping mendirikan satu lagi kampus di Chengdu, China pada akhir tahun depan juga, katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.