Dedah salahlaku polis: DAP nafi ada agenda tersembunyi
DAP menafikan ia mempunyai agenda tersembunyi dalam mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa polis terhadap orang awam.
DAP menafikan ia mempunyai agenda tersembunyi dalam mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa polis terhadap orang awam.
Naib Presidennya, Chong Eng berkata, tujuan DAP adalah untuk menyekat amalan tidak negatif itu dan membaiki imej polis yang semakin buruk di mata awam.
"DAP tidak mempunyai agenda tersembunyi ketika mendedahkan perkara itu kepada orang ramai. Tujuan kita ialah untuk memperbaiki imej polis supaya mendapat semula kepercayaan masyarakat," katanya ketika sesi-soal jawab di Parlimen hari ini.
Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, tanggungjawab mendedahkan penyelewengan dan salahlaku polis patut dipikul oleh semua wakil rakyat, baik dari kerajaan mahupun pembangkang.
Katanya, jika wakil rakyat tidak mendedahkannya, pihak manakah lagi yang perlu berbuat demikian.
"Saya kecewa dengan sikap wakil rakyat kerajaan yang menyebelahi dan mempertahankan polis yang menyeleweng. Sikap ini amat memalukan," katanya.
Tahan remaja
Bagaimanapun, Chong Eng berkata, pendedahan yang dibuat oleh DAP adalah untuk kebaikan polis supaya mereka dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.
"Saya menyokong media yang mendedahkan hal ini. Ini sangat baik. Kalau kita ahli Parlimen setuju dengan pendedahan media terhadap kekejaman askar Amerika terhadap tahanan Iraq, maka kita juga patut menyokong pendedahan terhadap anggota polis kita," katanya lagi.
Sementara itu, Chong Eng juga mendakwa, sepasukan polis telah menangkap enam remaja berumur 16 dan 18 tahun dan ditahan beberapa jam di balai polis di Pulau Pinang sebelum dibebaskan pada jam 3 pagi.
Katanya, remaja terbabit melakukan kesalahan kecil, termasuk tidak membawa kad pengenalan diri mendakwa anggota polis juga mengambil wang RM26 dari remaja terbabit.
"Mengapakan dengan kesalahan yang begini kecil remaja terbabit perlu ditahan beberapa jam dan wang mereka diambil? Apa yang polis mahu?" katanya.

