Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
AMANAH T'ganu sokong hukuman sebat pesalah seks sejenis

Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu menyokong dan menyambut baik pelaksanaan hukuman sebatan terhadap dua orang wanita yang mengaku bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis.

Pengarah komunikasinya, Mohd Hasbie Muda berkata, hukuman yang dilaksanakan pada pagi ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini itu mendapat perhatian ramai kerana ia pertama kali dilakukan secara terbuka.

"AMANAH Terengganu berpendapat hukuman sedemikian adalah perlu untuk mengekang penularan gejala seks sejenis daripada berleluasa di negeri ini.

"Kita juga berharap tidak ada pihak mempolitikkan perkara ini memandangkan ia adalah suatu yang sedia termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat sebanyak enam kali terhadap dua wanita berkenaan kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding berkata hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Tak iktiraf hak lakukan maksiat

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Sementara itu Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah menyelar pihak yang menyebarkan satu kenyataan palsu menyatakan HARAPAN negeri itu membantah pelaksanaan hukuman tersebut.

Menurut beliau, kenyataan bertarikh 3 Ogos itu tular di media sosial bertujuan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan persekutuan yang dipimpin HARAPAN kononnya kerajaan mengiktiraf kelompok LGBT di negara ini.

"Sebagaimana yang ditegaskan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam persidangan Dewan Negara minggu lepas, kerajaan tidak pernah mengiktiraf golongan tersebut apatah lagi hak mereka untuk melakukan perkara-perkara maksiat yang terlarang.

"HARAPAN Terengganu akur dan tidak membantah apa jua hukuman yang di tuntut oleh Islam memandangkan ia sedia termaktub dalam undang-undang.

"Bagaimanapun kami kesal apabila ia dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk menggambarkan bahawa HARAPAN menentang ia (hukuman sebat) dilakukan.

"Jadi, hentikanlah politik fitnah dan kebencian," tegasnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS