Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH: Parti politik tak patut kuasai ERC
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 10:15 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) tidak patut dikuasai kepentingan parti politik supaya ia dilihat bebas dan tidak berpihak, kata badan reformasi pilihan raya, BERSIH.

BERSIH memaklumkan anggota parti politik tidak sepatutnya menjadi Pengerusi ERC dan Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bukanlah orang yang sesuai untuk mengisi jawatan itu.

"Ini tidak selari dengan imej awam bahawa ERC perlu bebas dan tidak berpihak untuk memudahkan perbincangan dan membina persetujuan di antara parti-parti dengan meluas mengenai reformasi pilihan raya.

"BERSIH mencadangkan pengerusi ERC dipilih di kalangan ahli jawatankuasa tersebut yang bukan menjadi anggota parti politik," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

BERSIH mengulas laporan media bahawa ERC berhasrat untuk mengembangkan keanggotaan jawatankuasa itu kepada 18 orang yang setakat ini mempunyai sepuluh anggota bagi memasukkan pelbagai kumpulan termasuk BERSIH dan pembangkang BN.

BERSIH juga berkata kenyataan itu bertujuan untuk menjelaskan kedudukan kumpulan itu mengenai ERC sebelum memutuskan sama ada untuk menyertai jawatankuasa berkenaan atau tidak.

Menurut BERSIH lagi, keanggotaan dalam ERC daripada BERSATU dilihat berlebihan.

"Daripada sepuluh anggota jawatankuasa itu setakat ini, terdapat tiga lagi pemimpin BERSATU, iaitu Datuk Kamaruddin Md Nor, Datuk Nordin Salleh dan Wan Saiful Wan Jan.

Tiada seorang pun wanita

"Sebaliknya, tidak ada perwakilan daripada PKR, DAP, AMANAH, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti Timur Malaysia yang lain, manakala BN dikatakan bakal mempunyai satu kerusi yang dirizabkan dalam jawatankuasa itu.

"Disamping itu juga, tiada seorang pun wanita di kalangan sepuluh orang anggota ERC yang dilaporkan itu. BERSIH mencadangkan komposisi yang lebih inklusif dan perwakilan yang sama bagi semua pihak berkepentingan dalam ERC untuk memudahkan konsensus dan sokongan parti-parti untuk pembaharuan pilihan raya," kata kumpulan itu.

BERSIH turut berkata penubuhan ERC tidak sepatutnya mendahului parlimen daripada menubuhkan jawatankuasa khas (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya kerana ERC menjalankan fungsi pihak eksekutif, manakala PSC dibawah pihak penggubal undang-undang.

BERSIH juga mendesak parlimen menubuhkan PSC mengenai pembaharuan pilihan raya dengan segera.

Lihat Komen
ADS