Noh dan Lim perang mulut tentang isu wanita bogel
Perang mulut tercetus antara ketua pembangkang, Lim Kit Siang dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu tahanan wanita yang dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi dalam lokap polis.
Perang mulut tercetus antara ketua pembangkang, Lim Kit Siang dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu tahanan wanita yang dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi dalam lokap polis.
Lim mendakwa Noh seorang yang degil dan tidak mahu mengakui kelemahan yang berlaku dalam kementerian tersebut.
"Noh tidak berubah walaupun beliau telah ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini," katanya.
Lim bertanya mengapa polis tidak mendedahkan identiti wanita tersebut sama ada ia warga China atau rakyat tempatan.
"Mengapa suruhanjaya bebas yang perlu mendedahkannya? Mana kredibiliti siasatan polis?" kata nya.
Manakala Noh pula menyifatkan Lim 'orang tua nyanyuk' yang cuba berlagak seperti hero.
Menurut Noh, jika identiti wanita tersebut diumumkan oleh polis, mungkin ramai yang tidak mahu mempercayainya.
Jadi, katanya adalah lebih wajar suruhanjaya bebas itu yang menentukan identiti wanita berkenaan dan mengumumkannya kepada orang ramai.
Jejas imej polis
Noh juga berkata, isu klip video itu meletup kerana tindakan DAP menghebahkan
berita itu ke seluruh dunia bagi memenuhi agenda tersembunyinya.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang turut serta dalam sesi soal-jawab itu pula mendakwa DAP mempunyai agenda untuk menghancurkan ekonomi negara.
Sementara itu ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nei Chi pula mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar yang mahu polis menyiasat siapa yang merakamkan klip video itu, daripada menyoalsiasat pegawai polis yang memaksa wanita berkenaan berbogel dan ketuk ketampi.
"Kes ini menjejaskan imej polis, setakat manakah kerajaan bersedia untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh suruhanjaya bebas itu," katanya.
Noh yang menjawab soalan wakil Kota Melaka itu berkata, setakat ini Kementerian Keselamatan Dalam Negeri melaksanakan 73 cadangan membabitkan aspek pengurusan kerana ia tidak memerlukan pindaan undang-undang.
"Suruhanjaya memberikan 125 cadangan kepada polis, ini bermakna kerajaan sedang mengkaji dengan lebih mendalam untuk melaksanakan kajian tersebut," katanya.
Seramai 17 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi soal-jawab mengenai kementerian tersebut hari ini dengan sebahagian besarnya memperkatakan tentang isu klip video tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.