Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar telah memberikan masa dua hari kepada Ketua Polis Selangor untuk menyelesaikan kes rakaman video wanita berbogel dan membuat ketuk ketampi di dalam lokap, empat hari sebelum perkara itu dihebohkan oleh pembangkang, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berkata, sebelum polis sempat menyelesaikan siasatan dan mengambil tindakan, pembangkang telah mengambil kesempatan dengan menghebohkan kejadian itu.

Menceritakan mengenai isu rakaman video itu ketika menggulung perbahasan mengenai kementerian itu pada persidangan hari ini, Noh berkata perkara itu sebenarnya telah diketahui oleh polis pada 21 November setelah dimaklumkan oleh Naib Pengerusi Yayasan Membasmi Dadah Selangor.

"Sebenarnya pada 21 November, Ketua Polis Selangor Datuk Yahya Udin telah menerima satu panggilan telefon daripada Naib Pengerusi Yayasan Membasmi Dadah Negeri Selangor yang memberitahu bahawa Datuk Michael Chong, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, mempunyai rakaman video dalam telefon bimbitnya yang menunjukkan perempuan didera di dalam lokap iaitu sama seperti dalam klip video yang ditunjukkan (pembangkang) itu.

"Ketua Polis Negara telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada pada 22 November dan beliau memberikan masa dua hari untuk Ketua Polis Selangor menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes itu," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada malam 22 November bagi menyiasat kes itu dan hasil penyiasatan daripada mesyuarat itu telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara keesokan harinya.

"Tetapi sebelum sempat polis mengambil tindakan menyelesaikan kes itu, pada 25 November, isu itu meletup. DAP jadi hero membesar-besarkan perkara ini sehingga (kerajaan) terpaksa menubuhkan satu jawatankuasa.

'Gambaran buruk'

"Inilah bezanya bagaimana orang yang pro kerajaan atau orang yang nak jaga nama baik negara seperti MCA dan Barisan Nasional. Kita cuba membuat cara terbaik, tak perlu diheboh-hebohkan sebab kita dah nampak kesan negatifnya," kata Noh.

Beliau berkata, tindakan oleh DAP itu sebenarnya memberi gambaran buruk dan menjatuhkan imej negara dan polis.

Mengenai identiti wanita dalam rakaman itu, Noh berkata biarlah perkara itu diserahkan kepada suruhanjaya bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Beliau juga berkata kerajaan memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana anggotanya yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Tidak dinafikan bahawa terdapat anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam kejadian salah saku, tetapi jumlahnya adalah kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan keanggotaan pasukan itu," katanya.

Noh berkata perangkaan anggota polis yang ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah menunjukkan tidak sampai satu peratus daripada jumlah keseluruhan polis di negara ini yang terbabit dalam rasuah.

Pada tahun 2003, 86 orang ditangkap iaitu 0.1 peratus, pada tahun lalu pula seramai 80 orang ditangkap (0.09 peratus) dan sehingga November lalu, seramai 55 orang ditahan (0.06 peratus).

"Polis juga tidak terlepas daripada undang-undang, semua orang adalah sama di sisi undang-undang (tetapi) adalah tidak adil kalau yang tidak sampai satu peratus itu kita nak perbesar-besarkan," katanya.