'Beri sokongan kpd kami,' Suhakam gesa PM
Kerajaan harus memberikan sokongan moral kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan tidak mengkritik badan itu yang mengeluarkan laporan berhubung dakwaan salah laku polis, kata seorang pesuruhjaya.
"Kerajaan tubuhkan Suhakam untuk menangani isu berkaitan hak asasi manusia. Berikan (peluang) kita (Suhakam) jalankan tugas itu dan sepatutnya (kerajaan) memberi sokongan," kata Profesor Hamdan Adnan kepada malaysiakini , mengulas kritikan Perdana Menteri hari ini terhadap laporan tersebut.
Kerajaan harus memberikan sokongan moral kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan tidak mengkritik badan itu yang mengeluarkan laporan berhubung dakwaan salah laku polis, kata seorang pesuruhjaya.
"Kerajaan tubuhkan Suhakam untuk menangani isu berkaitan hak asasi manusia. Berikan (peluang) kita (Suhakam) jalankan tugas itu dan sepatutnya (kerajaan) memberi sokongan," kata Profesor Hamdan Adnan kepada malaysiakini , mengulas kritikan Perdana Menteri hari ini terhadap laporan tersebut.
Tambahnya, laporan siasatan badan itu mengenai dakwaan keganasan polis ketika menyuraikan perhimpunan di Lebuhraya Kesas bersifat objektif dan berdasarkan keterangan saksi-saksi dalam tempoh empat bulan mulai November lalu.
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata laporan itu "lebih banyak dipengaruhi pemikiran Barat dan bukannya untuk kepentingan negara."
"Mereka (anggota Suhakam) tidak berfikir bagi kepentingan Malaysia," katanya seperti dilapor agensi berita nasional Bernama .
Berdasarkan siasatan awam, suruhanjaya itu mendapati pencabulan polis seperti menggunakan kekerasan terhadap mereka berada di lebuhraya itu, menyebabkan kerosakan serta merampas harta persendirian, melengahkan rawatan terhadap tahanan dan kegagalan memberi ubat kepada mereka yang cedera.
Perdana Menteri juga berkata, badan itu sepatutnya memberikan pertimbangan kepada keterangan yang diberikan oleh anggota polis memandangkan mereka bertugas dalam keadaan tertekan bagi menangani perhimpunan itu.
"Dia (Suhakam) hanya lihat dari satu sudut dan nampak polis jahat," katanya lagi.
Laporan untuk bantu polis
Laporan setebal 66 halaman itu berdasarkan keterangan 46 saksi, termasuk 16 anggota polis, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua anggota Dewan Rakyat pembangkang dan seorang pelajar perempuan, berumur 17 tahun.
Mengulas dakwaan Suhakam dipengaruhi pemikiran Barat, Hamdan berkata: "Melaporkan (perkara) yang benar lebih penting. Ia (laporan) dibuat berdasarkan soal siasat bukan saja mereka yang menyertai perhimpunan itu tetapi juga saksi lain - mereka yang terperangkap (dalam kesesakan lebuh raya itu) dan polis sendiri. Ia bukan dipengaruhi oleh (pemikiran) Barat."
Perhimpunan yang dijadualkan di sekeping tanah milik persendirian di Jalan Kebun, Klang dihalang polis di lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas di Lebuhraya Kesas. Dianggarkan 10,000 penyokong pembangkang, bersama empat pemimpin tertinggi parti-parti Barisan Alternatif, berjalan kaki sejauh beberapa kilometer sebelum diarah bersurai dengan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air.
Polis menahan 125 orang, iaitu 119 pada hari perhimpunan 5 November dan enam lagi pada malam sebelumnya, termasuk penganjur.
Tambah Hamdan, laporan itu juga bertujuan membantu polis untuk memahami keadaan dan cara-cara mereka boleh menangani perhimpunan seperti itu pada masa hadapan.
"Laporan itu adalah untuk kebaikan semua, sebab itu ia turut disertakan dengan cadangan-cadangan," katanya, dan menggesa kerajaan mengkaji isu-isu yang dikemukakan dalam laporan itu agar salah laku polis itu tidak berulang.
Tatacara tindakan polis dikaji
Hamdan turut menyangkal dakwaan bahawa pesuruhjaya Suhakam tidak berfikir bagi kepentingan negara.
"Kerana kita cintakan negaralah, yang menyebabkan kita memberikan laporan yang objektif, agar hak asasi rakyat boleh dijaga di negara ini," tegasnya.
Menurutnya, kepentingan hak asasi tidak boleh dianggap dari negara-negara Barat sahaja tetapi juga terkandung dalam ajaran Islam.
"Dalam Islam kita dituntut berlaku adil dan setiap orang daripada kita (manusia) mempunyai hak masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai perhubungan awam di ibu pejabat polis Bukit Aman, Supt. Benjamin Hasbie berkata polis akan mengkaji laporan yang dikeluarkan oleh badan hak asasi itu.
Dihubungi malaysiakini petang ini, beliau berkata, polis akan menilai tatacara tindakan polis yang sedia ada, antaranya Perintah Semasa (Standing Orders) di bawah Akta Polis, dan akan membandingkan dengan cadangan Suhakam itu.
Menurut seksyen 97 akta itu, Ketua Polis Negara boleh mengemukakan arahan-arahan khas kepada pasukan itu untuk memudahkan pentadbiran dan tugasnya.
Kenyataan tidak adil
Sementara Pengerusi DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri.
"Adakah Dr Mahathir bertindak adil kepada Suhakam dan apakah asas pandangannya? Luar biasa bagi seorang perdana menteri mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan beliau belum lagi membaca laporan itu," katanya.
Lim juga mendakwa anggota polis yang dipanggil itu "tidak bertanggungjawab" apabila enggan menjawab dengan sempurna soalan-soalan yang dikemukakan oleh anggota panel Suhakam.
"Jika Mahathir beranggapan siasatan dan laporan Suhakam itu berat sebelah dan hanya menitikberatkan keganasan polis, apakah beliau bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk satu lagi siasatan awam?" kata bekas Ketua Pembangkang itu.
Jawatankuasa siasatan itu yang dipengerusikan oleh bekas hakim kanan Tan Sri Anuar Zainal Abidin turut disertai dua lagi pesuruhjaya badan itu, Mehrun Siraj dan Tan Sri Simon Sipaun.
Menurut Lim, jika kerajaan tidak berupaya menolak satu demi satu butiran laporan suruhanjaya itu, ia harus menerima keputusan laporan itu dan cuba melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

