Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PAS persoal SPRM tahan bekas ADUN ketika tempoh PRK
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 1:58 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali berharap penahanan seorang bekas wakil rakyat yang dikaitkan dengan parti itu tidak dipolitikkan semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu lebih besar.

Bekas anggota Exco Selangor itu turut mempersoalkan mengapa hanya sekarang kes itu timbul, selain berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang lebih telus dan profesional.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di Shah Alam hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan wanita berumur 56 tahun itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa lebih RM50,000, sebelum Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah reman dua hari terhadapnya hari ini.

Beliau berkata suspek yang juga bekas rakan sejawatnya itu mempunyai hak dan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah

Katanya PAS sentiasa meenyarankan sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan perlu disiasat dengan lebih telus dan bukan atas tekanan atau bersifat selektif.

Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar turut dilihat meluang masa meninjau proses pengundian awal di pusat pengundian itu, dan berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 60 peratus atau 1,072 pengundi awal daripada 2,579 pengundi berdaftar di DUN itu telah menunaikan kewajipan masing-masing setakat 11 pagi tadi.

Dr Halimah menentang Halimey dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat pengundian Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, mendapati proses pengundian awal melibatkan 173 anggota polis berjalan lancar, sambil diiringi cuaca cerah.

Berdasarkan maklumat pegawai SPR bertugas, lebih 60 anggota polis telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, setakat 10 pagi tadi.

Halimey yang turut meninjau proses pengundian awal di kompleks SMS PDRM itu memberitahu pemberita bahawa suasana di pusat pengundian awal tersebut berbeza dengan pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara TUDM berikutan perbezaan jumlah pemilih berdaftar.

"Oleh itu, saya menyasarkan 90 peratus anggota polis untuk keluar mengundi tetapi saya sebenarnya berharap 100 peratus anggota polis akan keluar mengundi berikutan bilangan mereka yang tidak ramai," katanya.

Kedua-dua pusat pengundian awal itu yang sejak 8 pagi tadi akan ditutup 5 petang ini dan pengiraan kertas undi awal hanya akan dijalankan pada hari pengundian Sabtu ini.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS