Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini gamat dengan gelagat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim yang melantik dirinya untuk memangku jawatan ketua pembangkang ekoran ketiadaan Teng Chang Khim yang digantung daripada menghadiri sidang dewan itu selama lima hari.

Ng yang tinggal bersendirian sebagai anggota pembangkang dalam sidang dewan itu ekoran penggantungan "sifunya" Teng (DAP-Sungai Pinang), membuat kenyataan itu ketika mengambil bahagian membahaskan Bajet Selangor 2006 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo semalam.

Apabila ditanya Timbalan Speakar Datuk Mohd Satim Diman tentang "siapa yang melantiknya", Ng menggamatkan sidang dewan apabila memberitahu beliau melantik dirinya sendiri sebagai ketua pembangkang sementara.

"Saya terpaksa memangku jawatan Ketua Pembangkang buat sementara waktu," katanya.

"Lawan tetap kena lawan. 54 lawan 1, tidak mengapa," katanya merujuk kepada bilangan Adun BN di dewan tersebut.

Teng digantung ekoran insiden membuang "Peraturan-Peraturan Tetap" ke dalam bakul sampah sewaktu persidangan dewan 25 April lalu kerana berpuas hati dengan tindakan Speaker Tan Sri Onn Ismail menolak usul tidak percaya terhadap Dr Mohd Khir berkaitan isu Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.

'Peristiwa pahit'

Menurut laporan Bernama, Ng turut mempertikaikan hukuman yang dikenakan terhadap Teng dan menyifatkan kerajaan menzalimi rakan seperjuangannya.

Katanya "peristiwa pahit" itu membuktikan kerajaan negeri tidak menghormati prinsip demokrasi kerana Teng adalah Adun pilihan rakyat.

Ng juga mendakwa pengantungan Teng memberi impak langsung kepada sidang dewan apabila buku "Penyata Rasmi" menjadi semakin nipis kerana ramai wakil rakyat BN tidak mengemukakan soalan lisan dan bertulis.

Lebih serius lagi, katanya, 16 wakil rakyat BN tidak mengemukakan soalan langsung pada sidang Bajet kali ini.

"Mustahil sekali sekiranya dikatakan tiada sebarang masalah berlaku di Selangor. Oleh itu, siapa rajin, siapa malas, sekali imbas, cukup jelas," katanya.

Ng, yang kerap dicelah wakil rakyat BN ketika berbahas, menegur Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kerana menghadapi masalah kewangan hingga menyebabkan banyak kerja berkaitan tidak dapat dilaksanakan.

'Anak angkat'

Pihak majlis itu, katanya, menghadapi masalah kewangan untuk membeli peluru bagi menembak burung gagak yang membanjiri pekan Sekinchan hingga memaksa beliau menyumbang RM500 bagi membantu pihak majlis membanteras burung itu.

Ng mencadangkan Kerajaan Negeri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai kewangan kukuh seperti Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya menjadikan MDSB sebagai anak angkat dan membantu kewangan mereka.

Dr Mohd Khir ketika menggulung perbahasan Bajet 2006, menolak dakwaan bahawa dewan itu menzalimi Teng.

Beliau berkata, walaupun wakil rakyat dipilih rakyat, mereka tidak boleh melanggar peraturan dan undang-undang.

Contohnya, sekiranya wakil rakyat melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju yang ditetapkan, mereka perlu membayar denda.

"Tindakan terhadap Sungai Pinang (Teng) kerana tidak ikut peraturan dewan. Sebagai seorang yang berilmu dan berpengetahuan mana boleh campak buku dalam tong sampah," katanya.