Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan sambut ketibaan Musa Aman di Kota Kinabalu

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini selamat tiba di Sabah dari Kuala Lumpur selepas menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Beliau tiba dengan pesawat khas pada jam 12.28 tengah hari di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), disambut ribuan penyokongnya yang melaungkan 'Musa Aman', dan ‘Allahuakbar’.

Musa yang memakai suit hitam dan bersongkok serta berjalan menggunakan tongkat, disambut dengan laungan azan sebelum menantunya Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif membacakan doa selamat.

Ketibaan Musa turut disambut beberapa pemimpin UMNO negeri termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama anggota lain antaranya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Azizah Mohd Dun, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Datuk Seri Masidi Manjun.

Sebelum keluar di pintu ketibaan, beliau sempat mengangkat tangan kepada penyokongnya yang berada di perkarangan lapangan terbang yang menanti ketibaannya sejak jam 10 pagi.

Beliau kemudiannya meninggalkan perkarangan lapangan terbang menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard.

Anggota keselamatan terpaksa mengetatkan kawalan keselamatan kerana keadaan yang terlalu sesak, bagaimanapun keadaan terkawal.

Semasa di dalam kenderaan, Musa terus melambai-lambaikan tangan melalui tingkap kenderaan yang terbuka, kepada penyokongnya yang berbaris di sepanjang jalan raya.

Difahamkan, dari KKIA, Musa terus ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai Anggota DUN Sabah.

Sebelum ini, Musa dilaporkan mendapat rawatan di London, pulang ke tanah air selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 6.45 petang, pada 21 Ogos, dari Seletar, Singapura.

Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini ke London pada 16 Mei untuk menjalani rawatan perubatan di London.

Beliau kini dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.

Selain itu, beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri.

Awal hari ini Malaysiakini yang memetik sumber polis Sabah melaporkan bahawa bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa dijangka tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

"Ya, ya, memang benar. Beliau (Musa) dijangka pulang (ke Sabah) hari ini.

"Maklumat yang kami terima, dia berlepas kira-kira jam 10 pagi dan dijangka tiba pada jam 12:30pm atau 12:40pm," kata sumber itu, seorang pegawai polis berpangkat tinggi, kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Musa telah menaiki penerbangan khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pagi tadi dan dijangka tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Akhbar New Straits Times, pula melaporkan anggota Umno Sabah telah dimaklumkan mengenai ketibaan Musa dan akan menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Saya diberitahu bahawa Musa akan pulang [...]

"Saya senang hati akan ke lapangan terbang untuk mengalu-alukannya kepulangannya bersama teman-teman dan penyokong ain," kata ahli Umno Putatan, Shahelmy Yahya.

Kepulangan beliau itu dijangka bertujuan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga selepas gagal melakukannya sebelum ini.

Musa yang menang kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk mengangkat sumpah jika tidak kemenangannya terbatal.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS