Berita Malaysiakini

Umno akan hadir muktamar PAS minggu depan

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno memberi lampu hijau untuk menghantar wakilnya dalam muktamar PAS di Kuala Terengganu hujung minggu depan, walaupun belum mendapat undangan rasmi.

“Yang pastinya kalau Umno dijemput untuk hadir ke muktamar, kita akan hadir.

“Dan saya pun dimaklumkan oleh timbalan presiden PAS, jika PAS dijemput (ke perhimpunan agung Umno atau PAU), PAS juga akan hadir.

“Jadi saya nak maklumkan Umno akan menjemput PAS.

“Jadi saya percaya PAS akan jemput Umno jadi saling hadir menghadiri di muktamar dan PAU nanti,” kata naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian alam sidang media di bilik operasi induk PAS dalam pilihan raya kecil Seri Setia di Shah Alam, hari ini.

Sidang media turut disertai Pengerusi PAS Selangor Sallehin Mukhyi, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail, selain pemimpin kedua-dua parti.

Sabtu lalu, pemimpin nombor dua PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS mempertimbang untuk menghantar wakil menjadi pemerhati PAU.

Muktamar penuh PAS akan berlangsung dua hari mulai 15 September depan di Kuala Terengganu – negeri yang baru dirampas kembali parti itu dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Sementara itu, Ismail yang juga pengerusi Umno Selangor berkata, mereka akan membincangkan hala tuju kedua-dua parti dalam perhimpunan agungnya hujung bulan ini.

Tindakan sama diumumkan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sebelum ini.