Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Malaysia hilang kerajaan sangat baik sejak PRU14

Jika pemimpin Umno mendakwa orang Melayu sudah kehilangan kuasa di negara ini sejak 9 Mei lalu, PAS pula melihat suasana semasa lebih parah.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Sallehen Mukhyi berkata parti itu berpendapat negara ini sudah kehilangan sebuah kerajaan yang "sangat baik" apabila keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih Putrajaya.

“Bukan sekadar Melayu (hilang kuasa) tapi rakyat hilang kerajaan yang sangat baik.

"(Kita) ingatkan (sangka) apabila mereka (HARAPAN) dapat tumbangkan BN, maka rakyat dapat bernaung dengan baik bawah HARAPAN, tapi apa yang berlaku ialah rakyat berasakan taraf kehidupan semakin teruk.

"Ini yang pertama sekali dilihat rakyat marhaen,” katanya pada sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 2 Sept lalu anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan orang Melayu di negara ini sudah kehilangan kuasa.

Berucap di majlis Himpunan Kebangkitan Melayu Pasir Salak di pekan Kampung Gajah, Perak Tajuddin berkata kerajaan HARAPAN hari ini dikawal oleh kalangan bukan Melayu.

Hakis semangat beragama

“Lebih separuh daripada jawatan dalam kerajaan hari ini dipegang oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam.

"DAP sendiri mempunyai lima atau enam jawatan, dan mereka juga mempunyai lebih banyak timbalan menteri. Separuh daripada kerajaan adalah kerajaan DAP," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Salak.

Bagaimanapun untuk rekod, 17 daripada 28 menteri dalam kerajaan HARAPAN sekarang ialah Melayu Islam.

Kata Sallehen ketika ini orang Islam di negara ini semakin terhimpit dengan pelbagai isu termasuk fahaman liberalisme dan amalan Syiah.

Selain itu katanya, isu berkaitan akidah lebih besar berbanding Melayu.

“Hari ini bagi saya jika kita cakap tentang isu Melayu, tapi sebenarnya ia merentasi kehidupan orang Islam yang semakin terhimpit, bentuk kehidupan umat islam bercelaru dengan fahaman yang masuk.

"Bukan setakat liberal, amalan Syiah terbuka mengancam akidah - itu saya fikir isu lebih besar daripada kekuasaan (orang Melayu).

“Hari ini dalam kerajaan HARAPAN yang paling mendominasi ialah DAP.

“Jadi sebab tu saya percaya rakyat melihat mereka mempunyai agenda tersendiri, bukan sekadar melupakan kekuasaan orang Melayu tapi pada waktu sama menghakis semangat hidup beragama dalam negara,” katanya yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Lihat Komen
ADS