Paling Popular
Terkini
story images
story images

WAWANCARA | Perhimpunan Agung Umno 2018 (PAU) merupakan medan penentu sokongan rakyat terhadap parti Melayu itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PAU dijadual berlangsung pada 29 dan 30 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan ia merupakan himpunan tahunan Umno yang julung kali diadakan selepas kekalahan parti itu pada 9 Mei lalu.

Semua pucuk pimpinan Umno baik presiden, timbalan dan jawatan-jawatan lain juga menampilkan wajah baru selepas pemilihan Umno, 30 Jun lalu.

Bagi Ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Asyraf Wajdi melihat PAU kali ini merupakan medan muhasabah diri selepas kekalahan teruk Umno, malah lebih penting anggota parti perlu memainkan peranan bagi menghadapi PRU15.

“PRU lepas rakyat tak tolak Umno sebab perjuangan Islam dan Melayu tapi berkisar soal kredibiliti pemimpin, skandal yang dihadapi, tadbir urus, integriti, sama ada perkara ini nak dibahaskan atau tidak, ini persepsi dan perkara yang menyumbang kepada jatuhnya, hilangnya kuasa Umno.

“Imej Melayu itu sendiri bukan soal kita tak relevan dari segi perjuangan kita. Ini perlu diberi penegasan dalam PAU, terutamanya PAU kali ini medan muhasabah, muhasabah kali ini perlu tulus dan telus,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Benarkan kritikan keras

Selain itu katanya, semua perwakilan seharusnya diberi peluang berbahas tanpa sebarang sekatan, termasuk mengkritik kepimpinan parti itu.

“Kalaupun PAU jadi medan kritik keras kepimpinan, bagi saya kita harus benarkan kerana mana lagi platform terbaik kalau bukan platform tahunan yang akan jadi medan mengatur dan meletakkan asas-asas penting, haluan Umno pada masa akan datang,” katanya.

Jun lalu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden Umno menewaskan empat pesaingnya iaitu bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin dan veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah selaku anggota parlimen Gua Musang.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menang Timbalan Presiden manakala bagi naib presiden pula diisi bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ketua Wanita Umno pula adalah Datuk Dr Noraini Ahmad manakala Ketua Puteri adalah Zahid Zarik Khan.

Beri kebebasan kepada ahli

Asyraf memenangi jawatan ketua pemuda bagi tempoh 2018-2021 selepas memperoleh 65 undi berbanding pencabar terdekatnya, Khairul Azwan Harun dengan 62 undi.

Asyraf ketika ditanya terdapat suara yang mahukan pembaharuan dalam Umno dengan mengetepikan orang lama daripada parti tersebut berkata di peringkat pemuda pihaknya memberikan peluang kepada pemimpin lama kerana mereka dipilih akar umbi mengikut proses demokrasi.

“Jadi mahu tak mahu, suka tak suka ini sistem demokrasi yang ada kekuatan dan kelemahannya.

“Kekuatannya beri kebebasannya sepenuhnya kepada ahli memilih. Kadangkala pemilihan itu berlaku ikut suara majoriti, kadangkala pemimpin yang naik tu tak mewakili citra hasrat rakyat atau pandangan umum sesebuah parti itu.

"Jadi bagaimana kita nak pastikan sistem demokrasi dipertahankan dan dalam masa sama kita bagi peluang kepada kepimpinan ke mana Umno nak dibawa oleh pucuk kepimpinan dalam tempoh mendatang,” katanya.

Pemuda kena bersuara

Asyraf turut menegaskan Pemuda Umno akan terus menyatakan pandangan walaupun terpaksa mengkritik pemimpin bagi kepentingan rakyat.

“Kami di peringkat pemuda kita tak rasa apologetik, bersalah atau curiga was-was untuk nyatakan pandangan kami kerana kita melihat (Pemuda) kena bersuara hatta mengkritik kepimpinan, sehingga ia benar-benar mewakili suara dan aspirasi rakyat kerana kita tak ada kepentingan,” katanya.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri,itu turut membandingkan situasi yang dihadapi sebelum PRU14 apabila barisan kepimpinan Umno sukar bersuara memandangkan mereka juga memegang jawatan dalam kabinet.

“Kalau dulu kita takut nak cakap sebab dulu kita ahli anggota kabinet, kita anggota pentadbiran kerajaan, nak cakap ada kekangan dan ketidaksesuaian.

“Tapi hari ni tak, kita tak perlu risau itu yang penting kita nak suara diaspirasikan rakyat, suara rakyat mendengar denyut nadi dan memastikan kepimpinan berada di landasan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat itu sendiri,” katanya.

Asyraf turut menambah, Umno seharusnya menjadi pembangkang yang kuat dalam tempoh lima tahun bagi menjadi juru semak dan imbang kepada pemerintah.


Artikel sebelumnya

Sulitnya Asyraf kemudi Pemuda Umno

Lihat Komen
ADS