Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: K'jaan besarkan isu sebat untuk tutup kes Guan Eng

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba membesar-besarkan isu hukuman sebatan ke atas dua wanita di Terengganu bagi mengalihkan perhatian terhadap keputusan menggugurkan kes rasuah terhadap bekas menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah kerajaan mengkritik pelaksanaan hukuman tersebut juga merupakan tindakan yang tidak menghormati kuasa mahkamah syariah.

"Apa yang berlaku kadang-kadang mereka cuba besarkan isu, misalnya.

"Isu yang berlaku di Terengganu sebagai contoh, untuk menutup isu tuduhan terhadap Lim Guan Eng yang jauh lagi besar berbanding apa yang berlaku di Terengganu.

"Ini sebagai satu tindakan tidak menghormati keputusan mahkamah syariah Terengganu.

"Semua pihak mesti menghormati peraturan yang ada selari dengan kerangka peraturan yang dibenar oleh negara kita," kata Tuan Ibrahim, yang merupakan anggota parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim pada Isnin lalu dan keputusan Mahkamah Syariah Tinggi Terengganu menjatuhkan hukuman sebatan ke atas dua wanita kerana hubungan sejenis.

Tertuduh sendiri tak rayu

Menurut Tuan Ibrahim, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah ke atas dua wanita terbabit diluluskan oleh parlimen.

"Mangsa diberi tempoh 14 hari untuk merayu, dia tak rayu. Dia sendiri minta laksanakan hukum supaya Allah ampunkan dosa dia, kita doa kepad Allah ampunkan dosa.

"Yang penting, kita bukan pertikai undang-undang yang ada. Kalau semua pihak bangkit pertikai peraturan-peraturan yang ada, buat apa kita ada undang-undang bila kita tidak hormati undang-undang yang ada," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap dua wanita berkenaan memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam.

Menurut Mahathir adalah penting untuk Islam tidak dilihat sebagai 'agama yang bengis'.

Laporan media mengenai hukuman sebatan itu juga mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik dan pendukung hak asasi manusia yang menganggap ia sebagai hukuman yang kejam.

Bagaimanapun, kerajaan negeri mempertahankan akta itu dengan mengatakan ia tidak menyakitkan dan bertujuan mendidik orang ramai.

Dua wanita yang berusia 22 dan 32 tahun itu ditangkap oleh pegawai penguatkuasa agama Islam pada April lalu kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta.

Mereka didenda sebanyak RM3,300 setiap seorang oleh Mahkamah Syariah dan dihukum enam sebatan selepas mengaku bersalah.

Lihat Komen
ADS