Pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan penghinaan kepada komuniti akademik dan kebebasan akademik di negara ini, kata Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menurut Naib Ketuanya, Sharan Raj, Dr Maszlee hanya memegang ijazah sarjana dalam bidang Islam dan Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran.

"Malah Dr Maszlee juga tidak pernah diberikan pangkat Profesor Akademik. Presiden sesebuah universiti sewajarnya daripada kalangan komuniti akademik yang bertauliah yang memiliki pangkat Profesor," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata umum mengetahui bahawa UIAM tidak mungkin menerima Dr Maszlee sebagai presiden universiti itu tanpa jawatan beliau sebagai anggota kabinet.

"Di Malaysia, terdapat ribuan ahli akademik telah mengendalikan ratusan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang jauh lebih layak untuk memegang jawatan pentadbiran universiti.

"Pelantikan Dr Maszlee merupakan penghinaan kepada golongan ahli akademik negara serta bagaimana ahli politik aliran kanan masih mencemari dunia akademik dengan agenda politik peribadi," katanya.

Semalam perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak ada masalah dengan pelantikan tersebut.

Menurut perdana menteri tugas Maszlee - walaupun dilihat terdedah kepada faktor konflik kepentingan - masih boleh dipantau.

Bekas timbalan rektor hal ehwal pelajar (HEP) UIAM, Profesor Datuk Dr Mizan Hitam pula menjelaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak juga pernah dilantik sebagai presiden universiti itu ketika menjadi menteri pendidikan.

Menurut Sharan Raj, kegagalan kerajaan memberi pengiktirafan kepada mereka yang lebih layak menjadi punca ramai golongan cerdik pandai berhijrah ke luar negara.

"Lebih-lebih lagi, Dr Mahathir mempertahankan pelantikan Dr. Maszlee serta memujuk rakyat menerima pelantikan ahli politik memegang jawatan pentadbiran di luar alam politik.

"Pakatan Harapan sekadar menukar lantikan BN dengan ahli Pakatan Harapan sahaja serta enggan memenuhi aspirasi rakyat.

"Maka harapan rakyat agar Pakatan Harapan menamatkan kronisme di Malaysia masih menjadi harapan," katanya.