Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat sebarang cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan walaupun PAS kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, BN tidak akan membuat cadangan sedemikian yang disarankan oleh sesetengah pihak kerana ia boleh dianggap sebagai tekanan kepada PAS dan memberi gambaran seolah-olah BN mabuk kuasa.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang penting ialah menunjukkan kepada rakyat Kelantan bahawa wakil rakyat BN boleh berkhidmat dengan baik serta mempunyai kemampuan dan kewibawaan membela rakyat.

"Kita akan lakukan (berkhidmat dengan baik) di Pengkalan Pasir dan kawasan lain di Kelantan yang dikuasai BN," katanya kepada pemberita di Langkawi

Pilihanraya kecil itu dimenangi oleh BN Hanafi Mamat dengan majoriti 134 undi. Beliau mendapat 7,422 undi menewaskan calon PAS Hanifa Ahmad yang memperolehi 7,288 undi dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali dengan 415 undi serta hilang wang pertaruhan.

'Pilihan tepat'

Menurut Bernama, beliau berkat, BN perlu terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa pilihan mereka adalah tepat, apabila memilih calon BN di Pengkalan Pasir.

Sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai amat bermakna kerana menang di kubu kuat parti pembangkang, beliau berkata, BN menerusi wakil rakyatnya akan berusaha berkhidmat dengan baik dan membawa pembangunan.

Katanya segala janji yang dibuat sepanjang tempoh berkempen akan dilaksanakan di samping menjamin wakil rakyat berkenaan akan berkhidmat penuh dedikasi.

Najib berkata, kemenangan BN di Pengkalan Pasir merupakan titik permulaan ke arah perubahan yang lebih besar di negeri yang diperintah PAS itu.

"Kita berharap kemenangan itu menjadi titik permulaan ke arah perubahan lebih besar, tetapi perubahan ini tidak boleh bentuk tekanan tetapi merupakan cetusan hati nurani rakyat.

"Saya percaya jika rakyat Kelantan mahukan perubahan maka perubahan akan berlaku," katanya.