Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaji minimum: Ada kata RM1,800, ada pula kata RM1,500

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan Pakatan Harapan menghadapi kesukaran menentukan gaji minimum yang tinggi memandangkan sebahagian besar kewangan negara hari ini digunakan untuk membayar hutang.

Katanya, kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.

"Ada yang berpendapat bahawa gaji minimum ini sepatutnya RM1,800. Ada yang kata RM1,500.

"Tetapi kita ada dalam keadaan kesukaran kerana banyak daripada wang yang sepatutnya ada digunakan untuk bayar hutang yang besar. Service of the interest pun dah begitu besar. Sebab itu kita tak boleh tingkatkan perbelanjaan kerajaan.

"Dan juga kita harus juga ingat kita sedang bersaing dengan negara-negara lain. Kalau kos kita meningkat terlalu tinggi, kita akan hilang competitive edge kita," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab kritikan beberapa pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mengkhianati pekerja miskin.

Menurut perdana menteri, Malaysia akan hilang kelebihan daya saing sekiranya gaji minimum dinaikkan secara drastik.

Selain itu, katanya, kerajaan sedang berdepan kekangan kewangan dan tidak mampu menambah perbelanjaan.

Penetapan gaji minimum diumumkan kerajaan pada Rabu menyaksikan kenaikan RM50 di Semenanjung dan RM130 di Sabah dan Sarawak, berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Berkuat kuasa 1 Jan 2019, kadar gaji minimum adalah seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Sebelum ini, Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan bercadang mengurangkan pegangan saham parti politik dan individu dalam syarikat media bagi mengelak media diperalat pihak tertentu.

"Di mana-mana kita dapati ada saja pihak yang ingin menguasai media untuk kepentingan diri mereka, sebab itu kita kurangkan pegangan (saham) ini, tetapi kita masih belum laksanakan lagi," katanya.

Ketika ditanya perkembangan mengenai penyediaan Bajet 2019, Dr Mahathir dalam nada berseloroh berkata: “Masih belum buat lagilah.”

Bajet 2019 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 2 Nov depan.

 

Lihat Komen
ADS