Terjemahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas bertelagah lagi dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang apabila dia sekali lagi menggunakan perkataan 'monyet' ketika gulung rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Dua minggu lalu, beliau menyifatkan mereka sebagai 'monyet' walaupun ketika itu ahli-ahli Parlimen Kesatuan Eropah turut hadir menyaksikan sidang dewan.

Hari ini, beliau mencetuskan satu lagi kekecohan di dewan dengan membuat kenyataan yang sama ketika menggulung Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2005 di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kayveas berkata penangguhan kes di mahkamah bukan berpunca daripada hakim dan beliau meminta Majlis Peguam dan para peguam membuat kajian berapa banyak kes yang ditangguhkan atas permohonan peguam sendiri.

Ketika itu, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) bangun untuk mendapatkan penjelasan lanjut, tetapi Kayveas enggan memberi laluan kepadanya.

Katanya, beliau tidak mahu memberi laluan dan menegur Chong yang menurutnya tidak faham peraturan (dewan).

"Saya kata, biar saya habis cakap dahulu apa yang saya hendak kata....Bila saya kata awak berperangai macam monyet, nanti awak marah," kata Kayveas.

Jawatankuasa disiplin

Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mencelah sambil berkata: "Mengapa kita membenarkannya menjawab seperti monyet?....dia telah menghina Dewan yang mulia ini..."

Menurut Lim, ini adalah kali ketiga Kayveas dengan sengaja menyebut perkataan 'monyet' di sidang dewan.

"Mungkin dia tidak mendapat perhatian pihak media. Tetapi kita tidak boleh biarkan dia melakukan untuk ketiga kalinya. Dia mesti tarik balik perkataannya...jika dia enggan, rujuk pada jawatankuasa disiplin," kata Lim yang jelas berang.

Timbalan Speaker Datuk Lim Si Cheng mencelah sambil meminta Kayveas menarik balik perkataannya itu.

"Saya harap perkataan 'monyet' atau 'seperti monyet' tidak lagi digunakan di dewan ini," kata Si Cheng.

Pada mulanya Kayveas enggan berbuat demikian sambil berkata: "Kita boleh semak Hansard. Pembangkang selalu menggunakan perkataanseperti 'monyet' dan celaka di dewan ini..."

Bagaimanapun, sebelum beliau habis bercakap, ahli-ahli Parlimen pembangkang beramai-ramai memekik memintanya menarik balik kenyataannya itu.

Tarik balik

"Saya tidak kata apa-apa pun tadi...." bantah Kayveas.

"Mengapa kami berani bercakap tetapi tidak berani mengakuinya," soal Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).

Timbalan Speaker sekali lagi menasihatkan Kayveas supaya menarik balik kenyataannya itu supaya sidang dewan dapat diteruskan dengan lancar, tetapi beliau masih enggan berbuat demikian.

"Saya tidak kata apa-apa yang perlu saya tarik balik," dakwanya.

Kit Siang terus mencelah dan berkata: "Dia kata 'monyet' dan 'seperti monyet'. Jika dia enggan tarik balik dan minta maaf, jangan benarkan dia terus bercakap. Halau dia keluar dari dewan!".

Pertelagahan itu berakhir apabila Si Cheng mengarahkan Kayveas menarik balik kenyataannya itu.

"Saya arah sesiapa sahaja keluar dari dewan ini...satu arahan telah dibuat. Perkataan 'monyet' tidak boleh digunakan di dewan ini. Bagi membolehkan sidang diteruskan dengan lancar, sila tarik balik," katanya.

Kayveas akhirnya berkata: "Saya tarik balik perkataan itu...dia tidak berperangai seperti monyet". Berita asal