Terjemahan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawat negeri itu baru-baru ini, sebagai 'ahli politik yang sudah lupus' selepas tersingkir daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Jabu bagaimanapun tidak menjawab secara langsung sindiran Anwar yang menyifatkannya sebagai 'seekar cicak' selepas beliau memanggil penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu "pelancong politik yang datang untuk berkelah di rumah panjang".

Beliau menegaskan demikian ketika berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri kelmarin sebagai menjawab kritikan Anwar terhadap kerajaan negeri Sarawak ketika berucap di perhimpunan di rumah panjang kaum Iban di Pantu, Sri Aman.

Jabu (foto), yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata kaum Dayak mesti menumpukan perhatian kepada 'politik pembangunan' yang dibawa oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan bukannya melayan "orang politik yang sudah lupus".

Ia juga merujuk kepada bekas presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah dibubarkan Daniel Tajem, pemimin Parti Pembaharuan Negeri(Star) Dr Patau Rubis, bekas Setiausaha Parlimen Patrick Anek Uren , Presiden Snap Edwin Dundang dan Timbalannya Justine Jinggut.

'Agenda peribadi'

Satu sumber yang layak dipercayai memberitahu malaysiakini bahawa komen terbaru Jabu itu dibuat ekoran arahan baru dari Taib Presiden PBB dan Pengerusi BN negeri bahawa BN mesti habis-habisan memastikan calon-calon pembangkang hilang wang pertaruhan dalam pilihanraya negeri nanti.

Anwar, para pemimpin Dayak dalam Snap dan Star serta jawatankuasa penaja Kongres Dayak Sarawak sentiasa membangkitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Sarawak.

Patau berkata, Jabu mengelak menyentuh isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dan terpaksa bertindak memberi gelaran, yang jelas menunjukkan "dia tidak mempunyai apa-apa lagi kecuali agenda peribadi".

Beliau mendakwa, 'politik pembangunan' dan 'politik eksploitasi' telah memberi keuntungan peribadi kepada para pemimpin BN negeri.

"Dia tidak mempunyai jawapan terhadap rasa kekecewaan yang semakin meningkatkan di kalangan rakyat Sarawak," kata Patau, sambil menambah ia bukan sahaja menjadi masalah kepada kaum Dayak tetapi juga dihadapi kaum Melayu dan Cina. Berita asal


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.