Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lawan rasuah jika tak mahu ditimpa nasib Umno, kata Dr M pada BERSATU

WAWANCARA | Tatkala BERSATU menyambut ulang tahun kedua hari ini, pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan tidak mustahil untuk mereka ditimpa nasib seperti Umno jika mengikut amalan pemimpin parti itu yang didakwanya mengkayakan diri sendiri.

Perdana menteri berkata, amalan seperti itu akan membuka pintu keluar untuk BERSATU daripada gabungan pemerintah Pakatan Harapan (HARAPAN) apabila beliau sudah tiada nanti.

"(Perkara) yang merosakkan Umno ialah rasuah dan lain-lain perkara. Kalau kita juga menjadi parti yang dikuasai perasaan tamak, maka kita tahu kita akan ditolak rakyat.

"Usia kita bergantung kepada betapa jujurnya kita dalam usaha melawan rasuah. Kalau (BERSATU) buat benda baik (apabila saya sudah tiada nanti), saya rasa (BERSATU) akan kekal.

"Kalau terpengaruh dengan budaya Umno yang berjuang untuk diri sendiri, 'apa yang aku dapat', mereka tak akan lama; BERSATU akan ikut jejak Umno ditolak rakyat," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dan Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana Khamis lalu.

Katanya, BERSATU akan berusaha untuk mengubah pemikiran anggota parti itu agar mengutamakan perlawanan terhadap rasuah.

Parti itu ditubuhkan dua tahun lalu apabila Mahathir dan beberapa pemimpin lain menentang Datuk Seri Najib Razak - ketika itu sebagai presiden dan perdana menteri - ekoran skandal 1MDB.

Pada 9 Mei lalu, bersama-sama HARAPAN dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), parti serpihan Umno itu menumbangkan BN untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Walaupun mengecam Umno, Mahathir mengakui beliau masih "berjiwa Umno" - parti yang dipimpinnya selama lebih dua dekad.

"Umno memang parti yang baik, mula...Jiwa saya masih jiwa Umno, tetapi apabila mereka sudah menyeleweng (dan) lari dari perjuangan, saya tak boleh mengikat diri pada parti itu setelah ia beralih menjadi sebuah parti yang dipimpin seorang yang dituduh sebgai pencuri.

"Salahlah diri saya kalau kekal sokong Umno walaupun sudah jauh menyeleweng dari perjuangan asalnya," kata pemimpin berusia 93 tahun itu.

Dalam wawancara ini, Mahathir turut menyentuh soal rancangan BERSATU untuk bertapak di Sarawak, dan isu-isu lain. Keratan wawancara di bawah telah disunting untuk kejelasan.

BERSATU merancang untuk mengembangkan sayap ke Sarawak. Apakah tawaran parti kepada penduduk negeri itu?

Mahathir: Pada mulanya kita tak berhajat untuk ke sana kerana kita berharap parti-parti dan bumiputera di sana mempunyai pendirian yang berlainan dengan kita.

Tetapi selepas BERSATU ditubuhkan, bumiputera di sana bertanya kenapa kita tidak ke Sarawak. Sekarang ada gerakan besar-besaran untuk menubuhkan parti di sana.

Di sana ada isu autonomi, 'Sarawak untuk orang Sarawak' dan sebagainya. Bagaimana BERSATU selaku parti semenanjung akan berdepan isu itu?

Mahathir: Ya memang ada perasaan (sentimen) parti semenanjung tak harus pergi ke Sarawak. Tapi kita dapati parti-parti semenanjung mampu menang di negeri itu.

Jadi bukan semuanya berpendapat mereka terasing daripada semenanjung. Ada ramai juga yang menganggap kerjasama dengan parti semenanjung ini penting untuk kebaikan mereka.

Dengan BERSATU mencecah usia dua tahun, apa pandangan anda tentang kepentingan parti terhadap orang Melayu dan Malaysia?

Mahathir: Walaupun umur kita cuma dua tahun tetapi pencapaian kita tidak menunjkkan betapa mudanya kita. Parti telah berusaha untuk memberitahu orang Melayu khususnya bahawa ini adalah parti Melayu, bukan pelbagai kaum.

Tetapi seperti juga dengan Umno sebelum ini, yang bekerjasama dengan parti kaum lain, kita juga bekerjasama dengan parti-parti pelbagai kaum.

Dengan adanya gabungan ini, kita dapat mempengaruhi mereka agar lupakan sengketa terdahulu dan tumpukan kepada satu matlamat.

Oleh kerana kita dapat bekerjasama, kita mendapat sokongan rakyat sehingga mendapat kemenangan yang cukup kuat. Walaupun tidak sampai dua pertiga, BN tidak boleh mengelak daripada mengaku kalah.

Ini menunjukkan penyertaan BERSATU memberi kesan dalam usaha untuk mengalahkan sebuah kerajaan zalim, kleptokratik yang dipimpin Najib.

Wawancara Mahathir:

Kabinet awasi khidmat Maszlee sebagai presiden UIA

Dr M: Jemputlah orang asing kalau nak tinggal di rumah kayu

Dr M harap jumpa pengganti dalam BERSATU


Wawancara ini dijayakan bersama oleh Haris Mohd, Lu Wei Hoong, Norman Goh, Zikri Kamarulzaman dan Sinar Harian.

Lihat Komen
ADS