Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 remaja ditahan bantu siasatan kematian CEO Cradle Fund
Diterbitkan:  Sep 9, 2018 11:43 AM
Dikemaskini: 6:00 AM

Polis dilaporkan menahan dua orang anak tiri Allahyarham Nazrin Hassan yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd.

Menurut laporan New Straits Times (NST) hari ini dua remaja terbabit masing-masing berusia 14 dan 17 tahun. Mereka ditahan petang semalam di rumah datuk mereka, Dr Chandra Muzaffar, di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Mereka dijadual dibawa polis ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini untuk mendapatkan perintah reman selama tujuh hari.

Laporan NST mendakwa penahanan berkenaan dibuat selepas penyiasat mendapat tahu kedua-dua remaja itu - serta ibu mereka - memiliki kemahiran memanah.

Penahanan dua remaja itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat, seperti dipetik Bernama.

Penyiasat dikatakan menemui kesan kecederaan di kepala Nazrin dan mereka sedang menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan anak panah.

Pada Khamis lalu portal berita Malay Mail dan The Malaysian Insight on Thursday melaporkan dua anak tiri Nazrin ditahan.

Memetik kenyataan sumber Malay Mail juga melaporkan remaja terbabit menganggotai kelab memanah di sekolah mereka.

Bagaimanapun penahanan itu awalnya dinafikan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Hari ini NST turut melaporkan polis akan mendapatkan kebenaran mahkamah bagi menyambung ibu kedua-dua remaja itu, Samirah Muzaffar, 43, yang sebelum ini ditahan bersama suami terdahulunya.

Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan kematian Nazrin pada 14 Jun lalu, yang asalnya dipercayai terbunuh akibat kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara.

Bagaimanapun selepas siasatan lanjut polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai bunuh ekoran penemuan kesan petrol oleh penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat di dalam bilik tempat mayat Nazrin ditemui.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS