Malaysia serah suspek militan Thailand
Seorang suspek anggota utama pergerakan pemisah selatan Thailand, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) ditangkap di Malaysia dan dihantar pulang ke negara itu, menurut akhbar tempatan di Bangkok hari ini.
Seorang suspek anggota utama pergerakan pemisah selatan Thailand, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) ditangkap di Malaysia dan dihantar pulang ke negara itu, menurut akhbar tempatan di Bangkok hari ini.
Akhbar harian The Nation dan Bangkok Post , yang menyebut sumber-sumber, melaporkan bahawa Manase Jeloh, 35, ditangkap oleh Cawangan Khas Malaysia dan diserahkan kepada polis Thailand dua hari lalu.
Manase diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Nasional, Jeneral Priewphan Damapong di tempat pemeriksaan Imigresen Sadao dan sedang disoalsiasat di satu lokasi rahsia.
Pegawai polis kanan atau Pemerintah Upaya Keamanan Multi-Agensi Sempadan Wilayah Selatan Thailand akan mengesahkan mengenai penangkapan Manase semalam, menurut the Nation.
Suspek pemberontak itu dikatakan ada hubungan dengan Pulo. Satu tawaran rasmi sebanyak satu juta Baht sehingga tertangkapnya sedang ditawarkan untuk kira-kira dua tahun dan baru-baru ini dinaikkan kepada tiga juta Baht.
Menurut laporan Bernama, Manase dikatakan menggunakan beberapa nama termasuk Chakarim Useng Cheloh, Kasim Bin Chelah dan Ustaz Seng.
Dia dilahirkan pada 30 Jun 1970, dan tinggal di Pattani dipercayai telah mengikuti latihan di Libya kira-kira empat tahun.
Lari ke Malaysia
Polis Thailand mengesyaki dia terbabit dalam beberapa serangan di selatan wilayah itu termasuk meletakkan bom dalam beberapa kejadian dan baru-baru ini dia lari ke Malaysia sebelum ditangkap di Kuala Lumpur.
Masih belum jelas jika Manase, suspek militan yang dirujuk oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar semasa memberitahu pemberita minggu lalu bahawa seorang militan telah diserahkan kepada Thailand.
Kekeliruan timbul berikutan laporan menyatakan bahawa militan itu adalah salah seorang daripada 131 orang yang lari ke Kelantan Ogos lalu tetapi pihak berkuasa Thailand terus menafikan mengenai penyerahan itu.
Sejak kekacauan merebak ke tiga wilayah selatan itu, lebih 1,000 orang terbunuh pada kejadian itu yang didakwa dilakukan oleh pemisah Muslim, jenayah terancang dan pengedar dadah.
Pulo muncul pada tahun 70-an semasa perjuangan bersenjata etnik Melayu di wilayah selatan Yala, Pattani dan Narathiwat yang meminta kemerdekaan dari Thailand.
Pihak berkuasa Thailand mendakwa beberapa kejadian, militan melakukan keganasan di selatan wilayah itu dan kadangkala melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia.
Pelarian itu yang mendakwa mereka bimbangkan nyawanya jika tinggal di negara itu, kini sedang ditahan di Terengganu dan masih enggan pulang walaupun kerajaan Thailand telah berjanji bahawa keselamatan mereka akan terjamin.

