Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS puas hati pencapaian di Seri Setia'
Diterbitkan:  Sep 9, 2018 5:44 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

PRK SERI SETIA | PAS menganggap parti itu tetap mencatatkan pencapaian yang memuaskan dalam PRK Seri Setia semalam, walaupun gagal merampas DUN itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penilaian itu berdasarkan peningkatan undi yang tinggi diperolehi calonnya berbanding PRU ke-14.

"Pada PRU lalu, PAS sekadar mampu meraih 4,563 undi dalam pertandingan tiga penjuru melawan HARAPAN dan BN.

"Jika nisbah keputusan PRU dan peratusan keluar mengundi 44.1 peratus dijadikan sandaran, sepatutnya gabungan undi PAS dan BN hanya 6,368 dan HARAPAN mendapat 12,900 undi. (Tetapi) Di PRK ini, PAS dan BN berjaya meraih 9,698.

"Ini jelas menunjukkan ada peningkatan sokongan ketara terhadap PAS dan BN sebanyak 3,330 undi dan PH hanya meningkat 825 undi. Peratusan majoriti (yang dimenangi HARAPAN) juga berkurang sebanyak 38 peratus," katanya dalam kenyataan.

Beliau mendapat jumlah itu dengan mengkadarkan jumlah undi setiap parti pada PRU lalu dengan peratusan undi semalam.

Pencapaian PAS pada PRK kali ini memang lebih baik berbanding PRU ke-14, di mana calon ketika itu Mohd Ghazali Daud hilang deposit selepas mendapat hanya 4,563 daripada 52,650 undi, atau 8.6 peratus.

PRK Seri Setia dan Balakong yang diadakan serentak semalam mencatatkan peratusan keluar mengundi antara paling rendah dalam sejarah PRK, masing-masing dengan 44.1 peratus dan 43 peratus.

Justeru Tuan Ibrahim menyatakan penghargaan kepada pengundi DUN itu yang menurutnya menyambut baik kerjasama pembangkang - Umno, MCA dan MIC - yang telah membantu PAS, selain SPR yang menjalankan tugas dengan baik.

Lihat Komen
ADS