Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pegawai timbalan menteri rakam bawah skirt wanita dipecat
Diterbitkan:  Sep 9, 2018 10:12 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Hanya beberapa jam selepas dilaporkan media, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman memecat pegawainya yang didakwa merakam dari bawah skirt seorang wanita.

Dalam kenyataan di Facebook, Azis mengesahkan bahawa lelaki yang dilihat dalam rakaman video litar tertutup (CCTV) yang kini tular di media sosial itu adalah pegawainya.

Azis menegaskan dia memandang serius tindakan individu itu dan menjelaskan bahawa ia dilakukan tanpa disedarinya.

"Tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji. Saya juga mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai tersebut yang membuat rakaman itu.

"Selepas membuat pertimbangan, keputusan untuk memecat pegawai tersebut dibuat serta-merta kerana tindakan tersebut yang menjejaskan imej dan kredibiliti saya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pejabat Timbalan Menteri.

"Saya memohon maaf atas tindakan pegawai tersebut dan ia tidak ada kena mengena dengan pegawai-pegawai lain dalam pejabat Timbalan Menteri yang sedang bertugas dengan saya," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang staf wanita kedai cermin mata membuat laporan polis terhadap lelaki yang merakam dari bawah skirtnya.

Dalam sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 8 September 2018 di sebuah kedai cermin mata, seorang wanita dilihat sedang memeriksa mata Azis dengan seorang lelaki lain duduk di belakang wanita itu.

Lelaki yang mengiringi Azis itu kemudian dilihat menggunakan telefon bimbitnya seakan membuat rakaman dari bawah skirt wanita berkenaan.

Insiden berkenaan dikatakan terjadi di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Azis bertanding di bawah Parti Warisan Sabah dan mengalahkan calon Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada pilihan raya umum lalu.

Lihat Komen
ADS