Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merupakan isu yang paling hangat diperkatakan dan menjadi bahan polimik umum sepanjang tahun 2005.

Dan Dong Jiao Zong (DJZ) gabungan Persekutuan Lembaga Persatuan Sekolah Cina (Dong Zong) dan Persatuan Guru Cina Malaysia (Jiao Zong) merupakan kumpulan paling lantang membantah pelaksanaan dasar tersebut.

Dan usaha terbarunya ialah menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) Sabtu ini bertempat Pusat Pendidikan DJZ di Kajang Sabtu ini.

Pastinya DJZ kini berdepan dengan tugas berat Sabtu ini bagi membuktikan dakwaannya bahawa bantahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, adalah membabitkan semua kaum, dan bukannya kaum Cina sahaja.

Apakah tokoh pendidikan Melayu dan India yang dijemput, akan menghadiri persidangan tesebut bagi sama-sama menyatakan pendirian membantah dasar tersebut? Semua akan terjawab Sabtu ini.

Menjelang persidangan tersebut, Malaysiakini telah mengadakan wawancara khas dengan Pengerusi DJZ, Dr Yap Sin Tian yang memperkatakan secara panjang lebar mengenai perjuangan pertubuhan tersebut.

Dr Yap juga dikenali dengan nama penanya Yassin Tani melalui usahanya memperterjemahkan banyak hasil kesusasteraan Cina ke dalam bahasa Melayu dan sebaliknya. Tulisannya juga disiarkan dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

MK: Boleh Dr Yap jelas mengapa DZJ mahu menganjur Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember ini?

Saya ada berhubung dengan penulis dan ahli kesusasteraan, budayawan untuk berbincang. Pada pendapat saya, kebanyakan mereka yang saya hubungi, juga bersetuju bahawa Matematik dan Sains patut diajar dalam bahasa ibunda.

Berikutan itu, Dong Jiao Zong (DJZ) akan menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) pada 10 Disember di Pusat Pendidikan DJZ di Kajang. Persidangan itu bukan sahaja membabitkan DZJ atau Lembaga Pengurus Sekolah Cina, tetapi juga alumni-alumni di Malaysia dan alumni Universiti Taiwan di Malaysia, bekas pelajar Universiti Nanyang, telah bersetuju untuk menyertainya.

Selain itu, kita juga telah menulis surat kepada kawan-kawan kaum Melayu dan India, menjemput mereka untuk berucap di persidangan tersebut.

MK: Bagaimana sambutannya?

Kita menjemput wakil-wakil dari seluruh negara. Kebanyakan (DJZ) negeri dan Lembaga Pengurus Sekolah Cina akan menghadirinya. Pada keseluruhannya sambutannya adalah baik.

MK: Berapa ramai semuanya?

Pada masa ini jumlahnya dinggarkan 1,000 orang. Tetapi mereka akan hadir sebagai wakil wakil lembaga pengurus sekolah dan guru-guru.

MK: Bagaimana dengan sambutan masyarakat pendidik Melayu dan India?

Kita sudah hantar surat dan sedang menunggu jawapan dari mereka.

MK: Ada hubungi mereka?

Ada, banyak melalui telefon, (tetapi) belum dapat jawapan, jadi belum dapat untuk diberitahu nama-nama mereka. Mereka ini ada pengaruh dalam masyarakat.

MK. Dalam isu ini banyak bantahan datangnya dari masyarakat Cina?

Bukan masyarakat Cina sahaja, masyarakat Melayu pun ada...

MK: Yang lebih bersuara adalah pendidikan Cina, tetapi kurang dari kalangan masyarakat pendidik Melayu dan India?

Saya tanya mereka...mereka cakap...(tapi) kalau bukan suara kerajaan, susah sikit.

MK: Adakah pendirian mereka dalam isu ini?

Mereka yang kita hubungi memang tidak setuju...(tetapi) lebih baik mereka hadir (di persidangan itu) dan bercakap di hadapan hadirin. Ini lebih baik dan lebih berkesan, daripada kita hanya menyebut nama mereka.

MK: DJZ nampaknya telah mengubah strategi. Dulu tumpu pada masyarakat Cina, tapi kini turut menghubungi masyarakat lain?

Betul. Bila kita menghubungi ahli-ahli pendidikan, sasterawan dan budayawan, kita ada kata sepakat. Jadi mereka pun ingat kalau orang Melayu menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar dengan lebih berkesan...ilmu ada, bahasa ada. Kalau mahu tingkat penguasaan bahasa Inggeris, mesti belajar secara profesional. Jadi kita dapat mencapai pandangan bersama, jadi kita ingat, dalam al ini, patutnya kita turut menghubungi masyarakat lain juga. Seperkara lagi, biasanya jika masyarakat Cina, DZJ atau persatuan-persatuan lain bercakap (mengenainya), ia dikatakan cauvinistik...masyarakat Cina sahaja. Tetapi kalau kita dapatkan maklumatnya, sebenarnya isu ini bukan (mengenai) orang Cina sahaja. Contohnya, pada bulan Mac 2005, Kongres Pendidikan Melayu saya baca dalam akhbar juga dilaporkan tidak bersetuju (dengan dasar tersebut).

MK: Ada yang berpendapat penggunaan bahasa ini mudah dan kurang (keperluan) terjemahan ke bahasa lain?

Kalau di tahap universiti mungkin ada universiti yang menggunakan pelbagai bahasa, tetapi dari sekolah rendah, murid masih dalam proses menguasai bahasa (ibunda), macam mana mahu kuasai bahasa lain (BI). Dan lagi satu bukti, macam Jerman, Jepun guna bahasa ibunda mengajar Matematik dan Sains, dan ia tidak langsung menunjukkan yang ilmu mereka tidak baik.

MK: Bagaimana pula dengan tahap kedua penukaran bahasa di sekolah Cina?

DJZ sudah berulangkali meminta tahap kedua (penukaran bahasa di sekolah Cina) diumumkan, tetapi sampai sekarang belum diumumkan. Jadi kita kesal kerana sesi persekolahan akan bermulai Januari ini tetapi sampai sekarang pun program atau perkembangannya tidak ada. Jadi itulah tujuan kita adakan persidangan itu untuk menyuarakan pendirian kita.

MK: Antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan?

Pada luarannya, ada perbezaan antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Tetapi ada juga persamaannya. Dulu sekolah kebangsaan menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengajar Matematik dan Sains, manakala sekolah Cina pula menggunakan bahasa Mandarin untuk matapelajaran tersebut. Tetapi kini semuanya diajar dalam bahasa Inggeris. Cuma di sekolah Cina, selain bahasa Inggeris, ia juga menggunakan bahasa Mandarin, tetapi ini membuang masa, (mengajar) benda yang sama, mesti membosankan.

Oleh sebab itu (adalah) arahan kerajaan, kementerian. Bahasa Inggeris sangat mustahak dalam ujian, jadi sampai sekarang menteri belum lagi mengumumkan (sama ada) pada 2008, ia mahu digunakan lagi, apakah bahasa (pengantar) ujian UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah). Jadi masyarakat Cina sangat bimbang tentang hal ini.

MK: Bagaimanakah harapan Dr Yap dan DZJ berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris?

Kerajaan mahu paksa, apa yang kita boleh buat. Kita cuma boleh bangkang. Ahli pendidik selalu memberi pendapat tentang konsep pendidikan dan lagi, keputusan (peperiksaan) juga banyak yang negatif, tetapi sampai sekarang kementerin tidak semak lagi.

MK: Ada yang anggap ia satu usaha meng-inggeris-kan pendidikan di Malaysia, ubah identiti sekolah sekolah Cina, Tamil dan sekolah Melayu di-inggeris-kan?

Inilah yang membimbangkan masyarkat cina kerana dalam Akta Pendidikan, di sekolah Cina, selain mesti belajar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, matapelajaran yang lain boleh guna bahasa ibunda. (Tetapi) kini dipaksa guna bahasa Inggeris, jadi mereka bimbang (kalau nanti) Mandarin hanya (tinggal) menjadi satu matapelajaran di sekolah Cina. Inilah kebimbangan masyarakat Cina.

MK: Apakah perjumpaan DJZ dengan MCA, Gerakan membuahkan sebarang hasil? Kita mengadakan perjumpaan dengan MCA dan Gerakan. Kedua-duanya, pada prinsipnya, menganggap patut diguna bahasa ibunda untuk mengajar (Matematik dan Sains). (Timbalan Presiden Gerakan) Tan Sri Dr Koo Tsu Koon, dalam akhbar, telah menerangkan pendiriannya...(tapi) dah jadi satu isu. Kitapun jumpa MCA, ia pun lebih kurang cakap mengenai pendiriannya. Tetapi sebenarnya kita tidak tahu...biasanya mereka cakap akan berunding dengan kabinet dan kerajaan...tapi kerana program itu belum disemak, jadi kita anggap ia belum lagi selesai.

MK: Menteri ada berkata kalau dipaksa, beliau tidak akan bagi tahu (pelaksanaannya)? Dia rasa ada tekanan termasuk dari DZJ?

Itu perasaan beliau, sebenarnya kita tidak mahu paksa beliau tetapi oleh sebab kita bimbang dan khuatir kerana masalah ini sudah lama berlanjutan, jadi kita bersuara, minta diumumkan secepat mungkin.

MK: Kalau dia umumkan pun, ada ura-ura ada strategi lain, seperti panjang masa belajar. Apakan pendirian DZJ seterusnya?

Tunggu sampai beliau umumkan. (Mungkin) waktu belajar ada berubah sikit tetapi di segi dasar penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, kementerian nampaknya masih tidak mahu berubah. Jadi DZJ mahu menuntut supaya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa ibunda. (Cara) meningkatkan (penguasaan) bahasa Inggeris adalah dengan memperbanyakkan waktu belajar bahasa Inggeris. (Ia perlu diadakan) secara profesional, maknanya, ada makmal (bahasa), makmal komputer, dan lebih masa belajar bahasa itu.

MK: Ini pendirian DJK?

Ya. Pendirian ini dicapai dalam resolusi yang dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa (DJZ). Kerana kalau anda bercakap tambah waktu (belajar), itu (aspek) teknikal. Dari mula lagi kita telah jelaskan (mengenai) penggunaan bahasa ibunda untuk mengajar Matematik dan Sains. (Bagi meningkatkan penguasaan) bahasa Inggeris pula hendaklah ditambah waktu belajar (matapelajaran tersebut).

MK: Apakah anda fikir kerajaan akan pertimbang gesaan itu?

Ini terpulanglah kepada para pendidikan dan masyarakat berbilang bangsa. Kalau (masyarakat) Melayu, India dan Cina bangkang walaupun mungkin sekarang belum diubah tapi mungkin suatu masa nanti, apabila terbukti cakap itu betul, maka kerajaan pun mesti mahu menyemaknya.

MK: Untuk semua kaum?

Pendirian ini untuk semua kaum. Dalam masyarakat Cina pun, adakala mereka tidak sehaluan, tapi bila sebut tentang masalah pendidikan, mereka semua boleh bertolak ansur...

MK: Bagaimana kalau parti politik turut hadir?

Pada hari berkenaan (persidangan Sabtu ini), mereka yang datang nanti, tidak bercakap mewakili parti (mereka). Memanglah setiap penyokong mempunyai latarbelakang berlainan. Tetapi itu adalah hak mereka. Parti politik memang bangkang...kalau rapat dengan PAS, nanti kerajaan akan kata pembangkang mahu menekan. Dalam lembaga pengurus (sekolah Cina), kita dari macam-macam latarbelakang dari MCA, Gerakan dan DAP. Tapi kalau tidak tunjuk (sentimen kepartian), semuanya ok.

MK: Perlu permit polis untuk adakan persidangan Sabtu ini?

Kita buat dalam kawasan premis Kolej New Era, jadi tak perlu permit (polis). Lagi pula mereka (peserta) datang atas jemputan.

MK: Apakah harapan dan hasil yang DZJ harapkan daripada persidangan ini?

Kita adakan persidangan dulu dan lihat resolusi pada hari berkenaan. Bila ada resolusi, baru kita hantar kepada pihak berkuasa, kementerian atau pihak-pihak lain. Kalau kerajaan pentingkan suara rakyat, ia perlu mengambil langkah secepat mungkin untuk memperbaiki keadaan ini dan semak semua (dasar tersebut).

MK: Ada yang berpendapat DZJ tidak ikut perkembangan semasa di mana bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa global. Dan ada pelajar Cina tidak cekap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?

Bahasa sebenarnya tidak jadi masalah. Ini boleh dibuktikan di mana pelajar sekolah menengah Cina tidak menghadapi masalah apabila mereka melanjutkan pelajaranke Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, dan pada masa yang sama, belajar di Taiwan, China dan Singapura. Di peringkat sekolah menengah, tahap penguasaan (bahasa Inggeris) bukan terlalu tinggi. Sekolah Cina pentingkan tiga bahasa bukan sahaja bahasa ibunda, tetapi juga bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Ada juga pelajar kita yang belajar di Universiti Malaya dan Universiti Multimedia...Anak saya pun masuk (Universiti) Multimedia. Dengan sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah PersendirianCina Malaysia, masuk katergori B lebih tinggi dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lulusan SPM kena masuk pra-universiti, tetapi lulusan sijil (sekolah Cina) terus masuk peringkat B.

MK: Jadi bahasa bukan satu halangan?

Tidak. Ada prejudis terhadap sekolah Cina kerana mereka ingat pelajar sekolah Cina belajar Mandarin sahaja...berdasarkan Forum Pelajar (dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka) yang diadakan setiap tahun sejak 14 tahun lalu hingga sekarang, (kita) dapat lihat penguasaan bahasa Melayu di kalangan mereka (pelajar sekolah Cina).

MK: Ada cadangan formula 2-4-3 dipinda?

Yang mustahak ialah dua perkara pertama, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), macam di sekolah Cina, menggunakan bahasa ibunda bagi matapelajaran Matematik dan Sains. Kedua, (kita) mahu bahasa pengantar macam dulu, sekarang dwi-bahasa. (Kita mahukan) resolusi akademik, kerana resolusi politik mahukan manfaat politik, tapi bukan manfaat pendidikan. Jadi apa yang DJZ usahakan (dengan menganjurkan persidangan Sabtu ini) ialah untuk memberi peluang dan saluran kepada masyarat pelbagai kaum untuk menyuaraian pandangan/bantahan mereka terhadap dasar tersebut.

MK: Apakah pendekatan baru yang diambil Dr Yap selepas menjadi pengerusi?

Apabila saya mengambil alih (jawatan pengerusi), saya menggalakkan penggunaan banyak bahasa sebagai satu bentuk komunikasi, bagi mengelak salahfaham dengan bangsa lain. Pada masa dulu, kebanyakan fokus adalah dalam bahasa Mandarin. (Kini) digunakan lebih banyak bahasa dan selalu bercampur gaul dengan bangsa lain dan saling dapat bertukar-tukar pandangan. Cara ini dapat meningkatkan persefahaman dan mengelak berlaku salahfaham supaya orang lain dapat memahami tujuan perjuangan sebenar DZJ.

MK: Apakah mesej DJZ?

Sebenarnya, pada masa ini orang Melayu, sekurang-kurangnya separuh, tidak setuju guna bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains. Begitu juga dengan kaum India. Jadi apakah persamaannya? Persamaannya ialah kita mahu guna bahasa ibunda orang Melayu guna bahasa Melayu, orang Cina bahasa Mandarin dan orang India guna bahasa Tamil. Mengapa mahu gunakan bahasa ibunda?. Ini kerana mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), (kaedah) lebih berkesan mengajar pelajar ialah dalam bahasa ibunda. Ini bukan kita yang cakap, tetapi UNESCO dalam dokumennya. Jadi jika media massa nyatakan pendirian kita, maka masyarakat lain juga akan tahu, bukan masyarakat Cina sahaja. Kurikulum di sekolah Cina berdasarkan kurikulum yang diumumkan oleh kementerian. Oleh itu, isinya sama, cuma bahasa pengantar sahaja yang berbeza. Bahasa pengantar pun bukan kita mahu, kalau ikut fakta pendidikan, sekolah jenis kebangsaan Cina, selain bahasa kebangsaan, Mandarin digunakan untuk mengajar (mata pelajaran lain).

MK: Perjuangan jangka panjang?

Kalau kita tinjau di Thailand dan Indonesia, kerajaannya sudah memberi kelonggaran. Sekarang di negara berkenaan, kelas bahasa Mandarin sudah banyak diadakan. Saya baru pulang dari Jakarta. Mengikut keadaan dunia sekarang, terutama di Asia Tenggara, kerajaannya sudah memberi kelonggaran dan (banyak) perubahan, bukan (seperti) tahun 1960-an dan1970-an. Dengan cara ini, saya ingat kerajaan kita, terutama kumpulan pemikir (think-tank) mesti melihat keadaan ini. Kalau kita ikuti laporan dari Filipina, Thailand dan Indonesia, sudah wujud trend baru ini. DZJ juga menjadi Sekretariat Tetap Simposium Pengajaran Bahasa Cina di Asia Tenggara sejak 12 tahun lalu.

MK: Matlamat DZJ?

Pertama, memperkembangkan pembelajaran Mandarin di Asia Tenggara. Kedua,meninjau bagaimana hendak mengatasi kekurangan guru kerana sekarang banyak kelas Mandarin dan kekurangan guru sangat kritikal. Ketiga, mengenai kurikulum...mesti guna (kaedah) profesional, guna radio, CD dan buku, supaya menghasilkan kurikulum yang sesuai dan popular supaya lebih ramai pelajar. Dan lagi satu ialah mengenai metodologi, cara pembelajaran. Orang Cina dari kecil sudah belajar bahasa ibunda dan dia boleh terus (belajar). Bagi orang yang tidak tahu langsung bahasa Mandarin, (mereka) mungkin (perlukan) satu dua tahun untuk belajar. Kini sudah ada satu cara pengajaran metodologi bahasa kedua (bagi kaum lain). Di Malaysia, kalau mengikut laporan, MARA, Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, bekerjasama dengan universiti di negeri China untuk belajar Mandarin. Banyak IPT (institusi pengajian tinggi) di Malaysia (berbuat demikian) sehingga Kementerian (Pelajaran) kata mahu ajar bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan. Sekarang Mandarin bukan sahaja merupakan bahasa ibunda, tetapi telah ditingkatkan menjadi satu bahasa dunia.